"Isu Ini Sengaja Diputar Belit Ahli Parlimen Alor Setar"


ALOR SETAR - Rakyat Kedah yang menetap di kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) yang dikuasai pembangkang tetap mendapat peruntukan dari Kerajaan Negeri mahupun Kerajaan Persekutuan.

Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, peruntukan untuk rakyat itu disalurkan terus kepada rakyat melalui pegawai penyelaras Parlimen atau Dun berkenaan, dan bukan melalui wakil rakyat pembangkang.

"Isu ini sengaja diputar belit oleh pembangkang, terutama Ahli Parlimen Alor Setar.

"Peruntukan untuk rakyat tetap kerajaan salurkan melalui pegawai-pegawai penyelaras Parlimen dan Dun yang dikuasai pembangkang. Itu memang normal, di zaman kita jadi pembangkang pun dulu kerajaan negeri layan kita begitu," ujarnya kepada Kedahnews.com, kesal dengan sikap putar belit Ahli Parlimen PKR itu.

Ahli Parlimen Alor Setar, Gooi Hsiao Leung sebelum ini mempertikai kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang mengatakan rakyat Kedah di kawasan parlimen pembangkang rugi kerana tidak menerima peruntukan disalur Kerajaan Pusat yang dianggar sebanyak RM30 juta sepenggal.


Jelas Ahmad Bashah, kebiasaannya Parlimen yang diwakili wakil rakyat BN menerima peruntukan sebanyak RM5 juta hingga RM6 juta setahun dari Kerajaan Pusat dan pelbagai agensi bagi memastikan rakyat terus terbela di kawasan pembangkang.

Mengulas lanjut, Syed Mohd Johan Rizal berkata, Ahmad Bashah dan wakil-wakil rakyat BN bertungkus-lumus mencari peruntukan untuk pembangunan dan memberi khidmat terbaik buat rakyat ketika Kedah dikuasai pembangkang dulu.

Jelasnya, wakil-wakil rakyat BN ketika itu tidak diberi peruntukan dari Kerajaan Negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat dan terpaksa berusaha mencari jalan mendapatkan peruntukan dari Kementerian-Kementerian, Jabatan dan pelbagai agensi kerajaan selama 5 tahun.

"Jadi, kenapa dia tak boleh buat macam yang kita usahakan waktu kita jadi pembangkang? Dia fikir senang jadi wakil rakyat? Jika gagal penuhi keperluan rakyat, maka berhentilah dari jadi wakil rakyat," katanya membidas Ahli Parlimen Alor Setar itu.

Katanya, sudah lebih dari 6 penggal Ahmad Bashah berkhidmat sebagai wakil rakyat di Dun Bakar Bata dan sehingga kini beliau tidak pernah gagal mengambil berat tentang masyarakat setempat dalam usaha menyelesaikan pelbagai masalah yang timbul.

Justeru itu katanya, wakil-wakil rakyat dari kalangan pembangkang perlu belajar dan mencontohi Ahmad Bashah yang sering turun padang menjalin hubungan yang lebih mesra berbanding hanya pandai bercakap serta menabur sentimen kebencian di hati rakyat Kedah. -Kedahnews.com