Jamal Diminta Pertimbang Semula Keputusan Letak Jawatan


SUNGAI BESAR - Naib Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi mahu Datuk Seri Jamal Md Yunos mempertimbangkan semula keputusan meletak jawatan ketua bahagian itu dan pengerusi Barisan Nasional (BN) kawasan Parlimen Sungai Besar.

Katanya Jamal dipilih oleh perwakilan dan seharusnya memenuhi amanah yang diberi oleh anggota parti, sementelah pilihan raya umum ke-14 juga semakin hampir.

"Perpaduan antara anggota Umno di kawasan ini juga pada tahap yang paling baik dan saya rasa sekarang bukan waktu untuk Jamal meletakkan jawatan," kata Budiman yang juga Anggota Parlimen Sungai Besar.

Serentak itu juga beliau meminta Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Tan Sri Noh Omar membuat pertimbangan bijak dalam isu Jamal.

Budiman berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran akhbar Sungai Besar Kini yang beliau terbitkan, di sini Rabu.

Pelancaran akhbar berbentuk tabloid itu disempurnakan oleh Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri Datuk Akmar Hisham Mohd Yusof.

Budiman berkata bagaimanapun pihaknya bersedia untuk akur dengan segala keputusan dan arahan yang dibuat oleh kepimpinan Umno negeri berhubung isu itu.

Jamal pada Rabu menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai Ketua Umno Sungai Besar dan Pengerusi BN Parlimen itu kepada Noh di Putrajaya.

Jamal dilapor berkata beliau nekad dengan pendiriannya untuk melepaskan jawatan tersebut kerana tidak mahu membebankan Umno susulan penahanannya berhubung kes pencerobohan dan samun sebuah pusat hiburan pada Disember lalu.

Pada Isnin lepas, Jamal yang juga Pengerusi Gabungan NGO Gerakan Merah Malaysia, mengumumkan akan melepaskan semua jawatannya dalam parti selepas dibebaskan daripada tahanan reman bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan. - BERNAMA