Jamal Yunos Sah Letak Jawatan Hari Ini


SHAH ALAM – Datuk Seri Jamal Md. Yunos secara rasmi hari ini menghantar surat peletakan jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar dan Pengerusi BN kawasan Parlimen itu.

Beliau menyerahkan surat tersebut terus kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri dan Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Noh Omar di Bangunan UMNO di sini.

Pengerusi Gerakan Baju Merah itu tekad dengan keputusannya kerana tidak mahu nama baik serta maruah UMNO dan BN tercalar dek tindakannya pernah ditahan polis kerana menyerbu pusat judi haram di Ampang tahun lalu.

“Saya telah ditangkap oleh polis kerana disyaki terlibat dalam kejadian samun, hasil daripada tangkapan itu saya telah dikenakan reman lima hari, kes ini telah menjadi tajuk utama akhbar.

“Dalam hal ini, saya percaya bahawa kes ini secara tidak langsung telah menjejaskan nama baik parti dan kepimpinan tertinggi parti khasnya di Selangor.

“Sebagai ahli yang sayang parti banyak berjasa kepada rakyat, saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kejadian tersebut dan berhasrat meletakkan jawatan,” kata Jamal memetik laporan Sinar Harian.

Mengulas lebih lanjut menerusi surat rasmi bertarikh 7 Februari itu, Jamal berkata, beliau menyerahkan keputusan tersebut kepada Pengerusi UMNO Selangor dan nekad menerima apa sahaja keputusan yang akan dibuat.

“Saya akan patuh dengan apa jua keputusan yang akan dibuat oleh pucuk pimpinan parti,” katanya lagi. – Kedahnews.com