Jangan Lantik Orang Politik Pimpin FAM – TMJ


JOHOR BAHRU – Walaupun belum memberi kata putus mengenai pencalonan jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim memberi bayangan, individu yang dipilih mestilah bebas daripada kongkongan atau motif politik.

Ini kerana, pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) itu tidak sanggup melihat bola sepak negara menerima nasib seperti Indonesia yang pernah digantung Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) FIFA ekoran campur tangan kerajaan pada tahun 2015.

“Yang pertama saya tidak mahu ada sebarang campur tangan kerajaan, oleh kerana saya tidak mahu jadi seperti di Indonesia. Liga mereka diharamkan untuk beberapa tahun oleh FIFA.

“Bola sepak ini adalah hak milik rakyat, sesiapa berkhidmat untuk bola sepak adalah untuk melakukan kebaikan demi pasukan kebangsaan, integriti dan kualiti liga tempatan.

“Ia juga membabitkan penyokong untuk sama-sama dengan persatuan atau kelab bagi membangunkan bola sepak Malaysia.

“Jadi, sesiapa saja yang menjadi presiden perlu jadi individu yang tiada kaitan dengan politik oleh kerana benda ini akan disalahgunakan, itu saja.

“Jadilah individu yang boleh berkhidmat khas untuk bola sepak,” kata Tunku Ismail menjawab persoalan di laman Facebook Johor Southern Tigers mengenai pencalonan presiden FAM.

Tunku Ismail juga tidak mahu jawatan tertinggi badan induk bola sepak negara itu digunakan sebagai lonjakan karier politik individu tertentu.

Ketika ini, empat individu dicalonkan untuk jawatan Presiden FAM pada Kongres Pemilihan Ke-53 badan induk itu yang dijadual berlangsung di ibu negara pada 25 Mac ini.

Selain Tunku Ismail, calon lain ialah Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar; bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan, Tan Sri Annuar Musa dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Aseh Che Mat. – Berita Harian