Jemaah Umrah Diserang Strok Di Makkah Selamat Tiba


PUTTRAJAYA – Salmah Mohd Yusof, 67, yang diserang strok ringan ketika mengerjakan umrah pada 13 Dis tahun lalu dan terlantar selama hampir dua bulan di Hospital King Faisal Makkah, selamat tiba di tanah air tengah hari semalam.

Kepulangan beliau adalah atas hasil dana yang dikumpul dalam tempoh 72 jam berjumlah RM40,000 melalui akaun Facebook peribadi Amera Sabrena Ahmad Sobri, rakyat Malaysia yang menetap di Makkah.

Suami Salmah, Nayan Mad, 65, ketika ditemui pemberita di Hospital Putrajaya hari ini berkata kepulangan beliau dan isterinya amat disyukuri terutama keprihatinan seluruh rakyat Malaysia yang menghulurkan sejumlah dana yang besar dalam masa yang begitu singkat.

“Terima kasih yang tidak terhingga juga saya ucapkan kepada Amera yang banyak membantu kami termasuk jururawat dan beberapa individu rakyat Malaysia yang tinggal di sana,” katanya.

Menurut Nayan, Amera Sabrena merupakan isteri seorang jurutera Malaysia yang turut terlibat dalam pembinaan Menara Jam di Makkah dan kawasan sekitarnya dan menetap hampir tujuh tahun di Makkah.

Beliau berkata kepulangan beliau dan isteri dibuat hasil sumbangan orang ramai kerana anak-anak mereka di Malaysia kurang berkemampuan untuk membiayai kepulangan mereka.

Amera Sabrena memulakan misi bantuan dana ihsan tabung #PrayForMakcikSalmah melalui Facebook pada 1 Feb lalu.

Beliau secara kebetulan menemukan suami Salmah ketika menziarah seorang jemaah umrah di hospital sama yang kemudian menceritakan kepadanya mengenai musibah yang menimpa suami isteri itu.

Dana sumbangan adalah bagi menampung kos pesawat khas yang memerlukan Salmah dibawa dengan perkhidmatan khas Saudi Airlines.

Nayan berkata isterinya kini dalam keadaan stabil dan akan menjalani rawatan susulan di Hospital Putrajaya. – BERNAMA