Kahwin Tak Sah, Masalah Keluarga Antara Kes Tertinggi - JPN Kedah

Orang ramai mendapat khidmat rundingan di kaunter JPN
SUNGAI PETANI - Perkahwinan tidak sah dan masalah keluarga antara kes tertinggi yang diterima Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kedah pada Program Outreach Jalinan Mesra yang dianjurkan bersama Jabatan Pendidikan Negeri, di sini kelmarin.

Program selama dua hari bermula kelmarin bersempena dengan Program Jelajah Pendidikan 2017 itu diadakan di Pusat Membeli Belah, Amanjaya Mall, di sini.

Menurut Ketua Bahagian Komunikasi Korporat JPN Kedah, Basharudin Ibrahim, tidak sampai dua jam kaunter khidmat pelanggan JPN dibuka semalam, pihaknya sudah menerima lapan kes daripada waris terdekat beberapa kanak-kanak di negeri ini tidak dapat memperoleh sijil kelahiran yang sah.

“Daripada jumlah itu, enam kes melibatkan masalah perkahwinan tidak sah iaitu suami atau isteri adalah warga asing. Ataupun kes bernikah di luar negara dan gagal daftar semula di Malaysia serta tiada ikatan perkahwinan.

“Dua lagi kes, daftar lewat sijil lahir antara sebab tiada dokumen yang mencukupi khususnya tiada sijil pendaftaran perkahwinan atau pengesahan taraf kewarganegaraan dan sebagainya,” katanya kepada media, di sini, kelmarin.

Menurutnya, faktor lain menyumbang kepada masalah kanak-kanak tiada dokumen pengenalan diri membabitkan rakyat tempatan adalah kegagalan ibu bapa mereka untuk mendaftarkan kelahiran mengikut masa yang ditetapkan selepas lahir iaitu dalam tempoh dua minggu.

Katanya, selepas tarikh itu, ibu bapa perlu melakukan daftar lewat kelahiran dan ia perlu disahkan oleh pihak mahkamah sebelum diproses oleh JPN.

“Ramai ibu bapa rakyat tempatan lewat mendaftar kelahiran anak mereka menyebabkan anak mereka membesar tanpa dokumen pengenalan diri.

“Sekiranya, masalah berkenaan tidak diatasi, ia akan menyulitkan urusan persekolahan anak-anak selain bermasalah dalam mencari pekerjaan,” katanya.

Dalam pada itu, seorang nenek dari Kulim yang enggan dikenali berkata, dia buntu memikirkan nasib tiga cucunya yang berusia sembilan hingga 12 tahun yang berhadapan kesukaran untuk bersekolah akibat ketiadaan sijil kelahiran.

Katanya, tiga cucunya itu terpaksa diberhentikan sekolah selepas pihak sekolah meminta mereka menyediakan dokumen yang lengkap.

“Pelbagai usaha sudah dilakukan untuk mendapatkan sijil kelahiran tiga cucu saya ini disebabkan ibu bapa mereka berkahwin secara tidak sah.

“Saya berharap masalah ini dapat diselesaikan segera demi masa depan tiga cucu sekali gus mereka dapat bersekolah kembali,” katanya.

Sumber: Sinar Harian