"Kalau Abah Tak Ada Nanti, Tolong Simpan Dekat Dengan Kubur Tok Nah"


ALOR SETAR -  "Ajal maut ditangan Tuhan." Begitulah perumpamaan kepada seorang pemandu lori, Ali Saad Bo, 55, yang di temui maut di tepi lori tanah miliknya di Kulim.

“Kalau abah tak ada nanti, tolong simpan (kebumikan) dekat dengan kubur tok (nenek) nah,” demikian gurauan terakhir arwah kepada ahli keluarganya sebelum ditemui maut, semalam.

Memetik Sinar Harian, kejadian tersebut berlaku di sebuah taman perumahan, dekat Padang Serai, kira-kira jam 10.30 pagi apabila mayat bapanya ditemui orang awam dalam keadaan tertiarap di tepi lori tanah miliknya, kata anaknya Mohd Azlan Ali Saad, 23, di sini.

Malah, anaknya itu sempat berjumpa dengan arwah pada jam 7.30 pagi ketika mahu ke tempat kerja masing-masing.

Katanya, seminggu sebelum kejadian, ayahnya pernah pengsan di tempat kerja. Hasil pemerikaan di klinik swasta, ayahnya cuma ada darah tinggi.

“Masa nak pergi kerja pagi tadi (semalam), sempatlah jumpa abah. Abah ada mengadu tak larat setelah beberapa kali kekejangan otot.

"Seminggu sebelum itu abah pernah pengsan di tempat kerja. Emak pergi ambil dan bawa ke klinik. Abah tak mahu pergi hospital sebab takut kena tahan di wad. Tiga hari sebelum kejadian, emak ada bawa ke klinik swasta sebab abah kekejangan dan menggigil. Doktor cakap abah tak ada sakit apa, cuma darah tinggi,” ujarnya lagi.

Menurut rakan mangsa, Mat Nor Hashim, 44, dia sempat minum bersama arwah sebelum memulakan kerja. Setelah itu, kira-kira jam 10.30 pagi dia dikejutkan dengan berita arwah terbabas ketika bawa lori dan digilis.

“Sempatlah bersembang dengan arwah. Dia ajak minum bersama. Habis makan, kami terus buat kerja.Selepas itu ada orang beritahu arwah terbabas dan digilis lori. Rupanya arwah bukan digilis, tapi terjatuh kerana lori sudah diparkir di tepi jalan." Mat Nor berkata.

Mat Nor berkata, kemungkinan arwah mengalami pening kepala sebelum jatuh dekat dengan tayar belakang lorinya.

“Mungkin arwah pening dan ketika nak pergi cari tempat berehat, dia jatuh tersembam dekat dengan tayar belakang lori,” katanya.

Jenazah dikebumikan di Kampung Kecil, Juru selepas Asar, semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Abdullah Arshad mengesahkan kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. - Kedahnews.com