Kalau Ada RM90 Juta, Takkan Saya Pakai Proton Saga Saja? - Mursyidul Am PAS


ALOR SETAR - Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin berkata, sekiranya PAS memiliki dana berjumlah RM90 juta, mana mungkin sekarang beliau hanya menggunakan kereta Proton Saga sahaja.

Malah kata beliau, sekiranya benar PAS ada menerima dana selumayan itu, ia bagaikan tidak sepadan dengan harga rumah miliknya yang dianggarkan cuma bernilai RM50,000 hingga RM60,000.

“Saya ni Mursyidul Am dan (Datuk Abdul) Hadi Awang Presiden PAS. Saya pakai kereta (Proton) Saga je. Kalau ada RM90 juta, tak kan saya pakai kereta Saga je. Itu terjawablah rasanya.

“Rumah saya pun dalam nilai RM50,000 hingga RM60,000 sahaja. kalau kami (PAS) ada RM100 juta, apa nak jadi, kolam renang tiga saya akan buat,” katanya selepas Konvensyen Kebajikan PAS di Auditorium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), semalam.

Mursyidul Am PAS itu diminta mengulas mengenai tuduhan Adun Salor, Datuk Husam Musa yang mendakwa PAS menerima dana dari UMNO berjumlah RM90 juta sebelum ini dan menegaskan beliau memiliki bukti mengenainya.

Difahamkan, Husam juga sebelum ini mendakwa dana tersebut telah disalurkan kepada parti Islam itu melalui akaun Affin Bank.

PAS walau bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut sekeras-kerasnya dan mempertimbang untuk mengambil tindakan saman terhadap pemimpin "De Facto" Parti Amanah Negara (PAN) Kelantan itu. -Kedahnews.com