ALOR SETAR - Skuad Helang Merah akan beraksi seperti biasa dalam saingan Liga Super menentang Felda United pada Sabtu ini, termasuk bakal menurunkan pemain kontroversi, Mohd Rizal Ghazali.
Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) Datuk Aminuddin Omar berkata KFA berhak menurunkan Mohd Rizal dalam kesebelasan utama selagi status pemain berkenaan belum diputuskan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
"Dalam kes Rizal, KFA telah mengemukakan afidavit kepada Jawatankuasa Status Pemain FAM dan menyatakan pemain itu masih lagi pemain Kedah dan menganggap perkara ini tidak sepatutnya berlaku memandangkan Rizal masih mempunyai kontrak dengan KFA.
"Kami yakin Rizal hak milik Kedah. Malah melalui pemahaman Rizal ketika satu perbincangan dan memorandum persefahaman (MoU) yang dilakukan dengan ejen, ia tidak mendatangkan sebarang kontrak. Namun apa yang terjadi adalah sebaliknya," katanya seperti dilaporkan Bernama di sini, Rabu.
Status tonggak pertahanan kanan Harimau Malaysia itu mencetuskan kontroversi apabila Rizal yang beraksi untuk Kedah sejak 2014, didakwa melanggar perjanjian dengan Felda United apabila membuat 'pusingan U' dan mahu terus kekal bersama skuad Helang Merah musim ini.
Situasi itu menimbulkan ketidakpuasan hati kem skuad 'The Fighters' yang mendedahkan pemain berusia 24 tahun itu milik mereka selepas berjaya mencapai persetujuan hitam putih sebelum aksi final Piala Malaysia 2016 pada 30 Oktober lalu.
"Justeru, kita akan tetap mempertahankan Rizal dan berharap afidavit yang dikemukakan akan diterima oleh jawatankuasa tersebut," katanya.
Aminuddin pada masa yang sama, mengakui ramai pemain skuad Hijau Kuning yang cuba dipancing beberapa pasukan lain selepas pasukan itu menjuarai Piala Malaysia 2016.
"Walaupun kami pasukan 'underdog' terutama dalam hal kewangan, pemain tetap bermain secara berpasukan malah hubungan antara pihak pengurusan dan pemain sangat akrab.
"Saya percaya, keadaan ini membuatkan kedua-dua pihak termasuk pemain import berasa selesa, sekaligus memberi semangat kepada mereka untuk mencipta kemenangan dalam setiap perlawanan," katanya.
Mengulas mengenai pemain import skuad Helang Merah musim ini, Aminuddin berkata mereka masih mencari keserasian dengan pemain lain dan corak permainan yang diterapkan ketua jurulatih Tan Cheng Hoe.
"Ini termasuklah dua pemain import baharu kita, Zachary Michael Anderson yang bermain di posisi pertahanan dan Ken Ilso Larsen sebagai penyerang. Kita beri mereka masa untuk memperlihatkan kebolehan mereka yang sebenar.
"Saya lihat, penyerang kita mempunyai kemahiran mengawal bola dengan baik, namun nasib belum ada. Kita percaya barisan kejurulatihan mempunyai cara terbaik untuk menyesuaikan antara penyerang dan pemain tengah bagi mewujudkan persefahaman di atas padang," katanya. - Bernama