Ain menunjukkan laporan polis dan resit tempahan yang jelas tertera tarikh 12 Februari 2017 ditulis sendiri pihak katerer. |
TIKAM BATU - Pasangan pengantin yang meraikan hari bahagia mereka kelmarin kecewa dengan tindakan pihak pengusaha makanan katering yang gagal menyediakan makanan sepertimana yang dijanjikan.
Pengantin perempuan yang mahu dikenali sebagai Ain, 25, berkata, pihaknya telah mematuhi segala syarat dan peraturan yang ditetapkan syarikat berkenaan termasuklah membayar wang keseluruhan RM9,000 sebelum majlis bermula.
Menurutnya, semasa sedang bersiap untuk ke majlis resepsi kira-kira hampir jam 12 tengah hari, dia dihubungi keluarga bertanyakan tentang makanan yang belum tiba sedangkan tetamu sudah mula memenuhi dewan di Tikam Batu.
“Bila saya hubungi tuan katering, dia bagi tahu terlupa dan sangka majlis kenduri diadakan esok (13 Februari) sedangkan di surat tempahan awal-awal lagi tertera tarikh 12 Februari 2017,” katanya dalam keadaan sebak kelmarin.
Disebabkan itu, sanak saudara dan tetamu jemputan yang datang seawal 11.30 pagi terpaksa menunggu hampir dua jam untuk menikmati hidangan.
Mujur tuan rumah ada menyediakan menu sampingan laksa yang pada mulanya menjadi menu petang akhirnya bertukar jadi menu utama.
"Disebabkan sedikit, hidangan laksa ini habis lebih awal. Nasi hanya sampai kira-kira jam 2 petang, itu pun berlaukkan ayam dan sedikit lauk ikan sahaja,” katanya.
Ain berkata, pemilik katering yang dihubungi berjanji menyediakan makanan dan menghantar menu sampingan untuk majlisnya terlebih dahulu, namun mengambil masa beberapa jam untuk siap sepenuhnya sehingga ada tetamunya terpaksa pulang dengan hampa.
Tinjauan media di lokasi majlis mendapati, lauk tambahan ayam dan daging masak hitam hanya disediakan kira-kira jam 4 petang sedangkan majlis tamat sejam kemudian.
Ain menjelaskan, dia telah membayar RM9,000 untuk menempah juadah bagi 1,400 tetamu antaranya nasi putih, nasi minyak, ayam masak merah, daging masak hitam, acar timun, bubur kacang, air dan makanan pengantin yang ditandakan percuma.
Katanya, dia dan pasangan juga menanggung malu berikutan majlis sambut menantu turut dianjurkan serentak memandangkan ia majlis perkahwinan terakhir bagi keluarga Ain dan kali pertama bagi keluarga sebelah suami.
“Kami rancang dengan sebaik-baiknya tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya, bukan sahaja malu dengan ahli keluarga tapi sanak-saudara dan kenalan yang datang jauh semata-mata nak menjamu selera tapi makanan lambat.
“Ada juga kawan-kawan yang bekerja terpaksa balik ke tempat kerja tanpa makan selepas masa rehat tamat, puas ahli keluarga mohon ampun dan minta maaf kepada tetamu,” katanya.
Ain berkata, hanya lauk ayam dan daging sahaja dihantar, sedangkan menu lain seperti acar timun, bubur kacang dan buah tidak dihantar sehingga jam 4 petang semalam.
Dia bagaimanapun menuntut ganti rugi atas apa yang berlaku dan mahu pihak katerer bertanggungjawab sepenuhnya.
Laporan polis telah dibuat di Balai Polis Tikam Batu berhubung kejadian.
Sumber: Sinar Harian