ALOR SETAR - Para penyokong pembangkang di negeri Kedah diminta supaya tidak mudah termakan dakyah politik kebencian yang cuba dibudayakan pihak tertentu khususnya di kalangan anak muda terhadap Kerajaan Barisan Nasional (BN).
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, propaganda kebencian itu hanya akan mempengaruhi mereka yang lemah berfikir dan anak muda Kedah perlu menghindari dari budaya negatif yang cuba diterapkan itu.
"Sebagai contoh, ada di kalangan mereka yang cuba menyebar dakyah negatif tentang peruntukan RM3.5 juta untuk program tahunan isteri wakil-wakil rakyat Barisan Nasional (BN) SeMalaysia yang berkampung di Kedah selama beberapa hari, baru-baru ini.
"Peruntukan itu menguntungkan kita sebenarnya. Selain dapat menambah baik prasarana Stadium Sultan Abdul Halim yang akan kita guna selepas ini, Perdana Menteri juga mengembalikan pelaburan itu dengan 10 kali ganda.
"Kita dapat pulangan RM30 juta untuk pembinaan litar lumba di Sungai Petani. Mereka cuba 'mainkan' pemikiran kita sebenarnya dan saya yakin anak-anak muda Kedah tidak bodoh seperti yang mereka sangka," katanya kepada Kedahnews.com.
Kata Syed Mohd Johan Rizal, sekurang-kurangnya kesan dari peruntukan RM3.5 juta itu dapat dinikmati oleh rakyat di negeri ini berbanding projek ubahsuai kediaman dan landskap kediaman rasmi Menteri Besar yang dilakukan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebelum ini.
Beliau berkata, projek ubahsuai kediaman rasmi Menteri Besar itu hanya dinikmati oleh individu yang berjawatan Menteri Besar sahaja, manakala landskap menanam pokok kurma di kawasan terbabit tidak memberi kesan positif kepada rakyat Kedah.
"Apa yang rakyat dapat dari projek RM2.9 juta yang dilakukan Mukhriz itu? Malah Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar sendiri pernah hentam Mukhriz berhubung projek 'syok sendiri' itu," ujarnya mengimbas apa yang berlaku sebelum ini.
Justeru itu, Syed Mohd Johan Rizal menegaskan bahawa propaganda murahan yang cuba mencemar minda rakyat perlu dijauhi dan sewajarnya dibersihkan dari terus mencetus budaya negatif khususnya di kalangan generasi muda di negeri ini. -Kedahnews.com