Kertas Siasatan Traged Katamaran Karam Di Sabah Siap


KOTA KINABALU – Kertas siasatan berhubung tragedi bot katamaran yang karam di perairan Sabah 28 Jan lepas, telah siap dan akan dirujuk kepada pejabat timbalan pendakwa raya.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din berkata polis telah selesai merakamkan percakapan semua pihak yang terlibat dalam insiden itu termasuk 20 pelancong warga China serta saksi kejadian.

Sebahagian daripada 20 pelancong itu telah pulang ke negara mereka manakala ada sebilangan lagi yang masih menerima rawatan di sini, katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah, Kinarut, dekat sini, hari ini.

Dalam tragedi 28 Jan lepas, bot pelancong jenis katamaran yang membawa 28 pelancong warga China dan tiga anak kapal, karam dipercayai akibat angin kencang dan ombak besar semasa dalam perjalanan ke Pulau Mengalum.

Setakat ini 26 mangsa telah dijumpai termasuk empat yang maut dan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) lima lagi mangsa telah masuk hari ke-12, hari ini. – BERNAMA