Kes Zunar Cabar Imigresen, Hakim Buat Keputusan Tarik Diri


KUALA LUMPUR – Seorang hakim Mahkamah Tinggi menarik diri daripada mendengar permohonan kebenaran semakan kehakiman oleh kartunis, Zunar bagi mencabar larangan perjalanan keluar negara yang dikenakan terhadapnya oleh Jabatan Imigresen sejak Oktober tahun lepas.

Hakim Datuk Hanipah Farikullah semalam membuat keputusan tersebut dalam kamarnya selepas membenarkan permohonan peguam Latheefa Koya, mewakili Zunar atau nama sebenarnya, Zulkifklee SM Anwarul Haque, supaya hakim itu menarik diri.

Latheefa ketika ditemui pemberita berkata pihaknya memfailkan permohonan supaya hakim itu menarik diri atas alasan hakim berkenaan sebelum ini telah menolak permohonan aktivis, Hishamuddin Md Rais dan anggota Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua Kiam Wee membabitkan isu yang sama.

Peguam Kanan Persekutuan, Mohamad Rizal Fadzil, yang mewakili Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia sebagai responden, berkata permohonan itu akan didengar di hadapan hakim yang baharu.

Pada 7 Disember 2016, Zunar, 55, memohon perintah certiorari untuk membatalkan arahan sekatan perjalanan oleh responden terhadapnya yang dimaklumkan secara lisan pada 17 Oktober 2016.

Beliau memohon perintah deklarasi bahawa sekatan perjalanan yang dikenakan terhadapnya telah melanggar Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu, ia terbatal, tidak sah dan tidak berperlembagaan, selain memohon perintah dari mahkamah untuk mengarahkan kesemua responden membenarkannya ke luar negara tanpa sekatan.

Zunar berkata beliau dihalang oleh pegawai imigresen ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 17 Oktober 2016 untuk ke Singapura bagi menghadiri satu forum di sebuah universiti di sana. – BERNAMA