Kim Jong-Nam Sentiasa Diiringi Pengawal Peribadi Ketika Di Malaysia - Rakan


PETALING JAYA - Abang tiri kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un iaitu Kim Jong-nam seronok datang ke Malaysia tetapi sentiasa diiringi pengawal peribadi kerana bimbang mengenai keselamatannya, kata seorang pemilik restoran yang mengenali beliau.

"Saya mengesyaki dia mempunyai peranti untuk menjejaskan CCTV. Setiap kali saya memeriksa kamera selepas dia meninggalkan premis, tiada apa-apa yang berlaku.

"Dia takut dibunuh, dengan itu dia sentiasa melancong diiringi pengawal peribadi," kata Alex Hwang, warga Korea Selatan yang restorannya sering dikunjungi Jong-nam.

Hwang berkata Jong-nam akan tinggal di hotel bertaraf lima bintang setiap kali dia berada di Malaysia.

"Kadang kala, dia akan membawa isterinya ke sini," kata Hwang sambil menambah Jong-nam telah membawa teman wanitanya dari Singapura ke Malaysia.

Hwang yang juga bekas Presiden Persatuan Korea di Malaysia berkata:"Terdapat banyak restoran di ibu negara tetapi dia gemar berkunjung ke Galeri Starhill kerana kawalan keselamatan di sana."

Katanya, Jong-nam sering melakukan perjalanan ke Singapura, Malaysia dan Macau.

"Keluarganya menetap di Macau. Anak lelakinya sudah kembali ke Macau dari Eropah."

Hwang percaya Jong-nam berada di sini kali ini kerana mempunyai urusan perniagaan atau rakan di Malaysia yang boleh membantunya dari segi kewangan.

"Dia sering mendapat bantuan kewangan dari Kedutaan Korea Utara tetapi tidak lagi selepas bapanya meninggal dunia dan dia hidup dalam buangan.

"Dia mungkin mempunyai beberapa sumber kewangan di sini.

"Saya cuba memujuknya untuk pergi ke Korea Selatan tetapi dia menolak," katanya.

Hwang menyifatkan pembunuhan Jong-nam sebagai perbuatan keganasan.

"Ia dilakukan di tempat awam. Mereka datang ke Malaysia untuk melakukan perkara yang teruk dan kami kini hidup dalam ketakutan," katanya.

Sumber lain berkata Jong-nam kerap berkunjung ke sini antara 2010 dan 2013 apabila sepupunya, Jang Yong-chol merupakan duta Korea Utara ke Malaysia.

"Kemudian, Jong-nam akan tinggal di sebuah rumah dua tingkat di Bukit Damansara.

"Dia akan tinggal di sini selama 10 hingga 15 hari setiap kali perjalanan. Kadang kala bersama keluarganya," kata sumber.

Sumber berkata Jong-nam kerap berkunjung ke pusat hiburan di Bukit Damansara dan berparti di kelab malam di Changkat Bukit Bintang.

Jong-nam berhenti datang ke Malaysia buat seketika selepas Yong-chol dipanggil pulang ke Pyongyang pada Disember 2013 dan menjalani hukuman mati.

Song-thaek dan seluruh keluarganya dihukum mati atas arahan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un.

Sumber itu berkata, Jong-nam tidak kembali ke Malaysia selama setahun tetapi dikesan semula berada di negara ini pada 2015 dan 2016.

Jelas sumber itu lagi, Jong-nam terlibat dalam perniagaan IT, pengedaran perkakasan dan perisian untuk perniagaan di Malaysia, Singapura dan Indonesia.

"Dia menyedari akan ada percubaan untuk meragut nyawanya dan telah beberapa kali berkunjung ke Kuala Lumpur bersama pengawal peribadi," katanya.

Sumber: mStar