"Kita Bawa PM Sarapan Di Alor Setar, Baru Dia Mai Tunjuk Muka?"


ALOR SETAR - Ahli Parlimen Alor Setar, Gooi Hsiao Leung disindir supaya tidak cuba menegakkan benang yang basah, sebaliknya disaran supaya berusaha dengan gigih untuk mendapatkan peruntukan bagi memastikan pembangunan dan kebajikan rakyat yang diwakili terbela.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, prestasi Gooi sebagai wakil rakyat hampir 5 tahun ini bagaikan "kosong" dan hanya "tunjuk muka" kepada rakyat di Parlimen Alor Setar ketika musim pilihan raya.

"Dia (Gooi) tak payah nak tegakkan benang yang basah, dia memang tak buat kerja. Lima tahun sekali dia barulah nak turun jumpa rakyat.

"Kita bawa Perdana Menteri turun sini bersarapan dengan rakyat, barulah dia mai tunjuk muka? Itu saja yang dia buat? Tugas dia sebagai Ahli Parlimen apa yang dia buat?," kata Ahmad Bashah kepada Kedahnews.com, menempelak Ahli Parlimen PKR itu.

Menegaskan berkenaan peruntukan bagi setiap parlimen yang dipersoal Gooi sebelum ini, Ahmad Bashah menjelaskan bahawa setiap peruntukan bagi parlimen itu adalah bergantung kepada wakil rakyat bagi kawasan terbabit.

Kata beliau, wakil rakyat itu perlu memikirkan sendiri bagaimana cara dan usaha yang perlu diambil bagi mendapatkan peruntukan bagi kawasan yang diwakili, termasuk menggunakan saluran parti masing-masing.

Jelas Ahmad Bashah, beliau sendiri ketika BN menjadi pembangkang di Kedah selama 5 tahun sebelum ini berusaha mencari peruntukan bagi parlimen Alor Setar khususnya di Dun Bakar Bata ekoran dirinya adalah wakil rakyat di situ.

"Peruntukan untuk kawasan parlimen dia ada atau tidak, itu terpulang pada dirinya sendiri. Dia sebagai Ahli Parlimen yang diberi undi oleh rakyat, dia kena buatlah. Dia pandai-pandailah cari peruntukan sendiri.

"Saya buat untuk rakyat di kawasan saya. Saya minta pada bos saya. Jadi dia mintalah pada bos PKR dia. Partinya memerintah di Selangor, mintalah pada mereka," katanya membidas Gooi lagi.

Ahmad Bashah berkata pemberita dalam satu sidang media yang diadakan sebelum mengadakan pertemuan empat sayap UMNO Bahagian Alor Setar di kediaman rasmi Menteri Besar di Seri Mentaloon di sini, petang semalam. - Kedahnews.com