KKM Terus Pantau Wabak Rotavirus Di Pusat Rekreasi Air Panas Ulu Legong


ALOR SETAR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih terus memantau perkembangan wabak Rotavirus yang menular di kalangan mangsa yang mengunjungi Pusat Rekreasi Air Panas Ulu Legong, Baling, baru-baru ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pemantauan terhadap mangsa-mangsa yang dijangkiti virus berkenaan menunjukkan tiada kes dehidrasi teruk atau melibatkan kematian.

"Tiada kes dehidrasi teruk atau kematian dilaporkan dalam kejadian ini. Pemantauan terhadap kes jangkitan ini akan diteruskan sehingga hari ini sebelum wabak ini disahkan tamat," katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.


Menurut Dr Noor Hisham, hasil siasatan yang dijalankan di pusat rekreasi terkenal di daerah Baling itu mendapati tiada kebocoran terhadap sistem pengurusan air kumbahan dan tahap kebersihannya adalah memuaskan.

"Punca pencemaran mungkin dari pengunjung yang kurang kesedaran berkaitan kebersihan diri. Kolam terbabit dicuci pada pagi 31 Januari 2017. Pusat rekreasi ini dibuka semula kepada pengunjung pada 6 Februari 2017," jelasnya.

Beliau berkata, susulan dari penularan wabak itu, Majlis Daerah Baling yang menguruskan pusat rekreasi tersebut telah mengambil tindakan termasuk mencuci kolam, memastikan air mengalir tanpa sekatan.

"Ia termasuk meletakkan papan tanda larangan pemakaian lampin pakai buang kanak-kanak dalam kolam mandi serta mengehadkan bilangan pengunjung pada waktu puncak bagi mengelakkan risiko jangkitan meningkat," katanya.


Jelasnya, berdasarkan aktiviti pembersihan kolam di Pusat Rekreasi Air Panas Ulu Legong, Baling, Kedah serta sejarah pendedahan kes, kemungkinan air kolam tercemar pada 29 Januari dan 30 Januari 2017.

Dr Noor Hisham turut memberitahu bahawa sejak 11 Februari lalu, tiada kes baru dilaporkan dan dua kes terakhir yang dirawat di hospital telah dibenarkan keluar wad.

Sehingga kini, dilaporkan seramai 86 orang dikesan dijangkiti Rotavirus selepas mengunjungi pusat rekreasi berkenaan. - Kedahnews.com