KPDNKK Batal Lesen 34 Syarikat MLM, "Direct Selling"


KUALA LUMPUR – Lesen 34 syarikat jualan langsung dan skim piramid (MLM) telah dibatalkan setakat ini kerana menyalahi peruntukan undang-undang.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata kesalahan itu melibatkan aktiviti mempromosi jualan langsung dan skim piramid serta merekrut peserta bagi menyertai skim berkenaan.

“Ini kesalahan yang sangat serius dan kami di kementerian memberi perhatian khusus kepada aduan berkaitan pelanggaran undang-undang seperti termaktub dalam Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1993.

“Kami tidak berkompromi dengan syarikat yang gagal mematuhi peraturan itu dan tidak akan teragak-agak membatalkan lesen mereka,” katanya selepas menyerahkan lesen jualan langsung kepada 27 syarikat di sini semalam.

Menurut akta itu, syarikat yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman denda dan penjara yang sangat berat bergantung kepada jenis kesalahan seperti tidak memiliki lesen sah dan tidak memaklumkan pertukaran alamat premis perniagaan kepada kementerian.

Akta Jualan Langsung 1993 mentakrifkan jualan langsung sebagai jualan dari pintu ke pintu dan jualan pesanan manakala skim piramid pula ialah satu bentuk pelan pemasaran yang menekankan pencarian anggota baharu dalam bentuk penajaan. – BERNAMA