Kurang Tarbiyah Bukan Faktor Utama Ahli PAS Lari Sertai PAN


ALOR SETAR - Tidak mendapat tarbiyah yang secukupnya bukan merupakan faktor utama pada ahli dan pemimpin PAS untuk meninggalkan parti, sebaliknya mereka yang lari dari parti itu dikatakan sebagai golongan "bermasalah" yang bertindak atas beberapa faktor lain.

Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Terengganu, Azman Shapawi Abd Rani berkata, kepelbagaian masalah tersebut menjadikan sebilangan ahli dan pemimpin PAS yang keluar parti dan menyertai parti baru dan tidak konsisten untuk terus bersama PAS.

"Mereka yang lari dari PAS ada beberapa peringkat iaitu bawahan, pertengahan dan tertinggi sehingga bekas Timbalan Presiden PAS sendiri (keluar PAS).

"Alasan bagi yang tiada tarbiyyah mungkin ada sebahagian masuk PAS tapi tidak bersedia dengan program tarbiyyah menyebabkan mereka ikut cara sendiri seterusnya mengambil sikap lari parti," katanya memetik laporan Sinar Harian, semalam.

Namun kata Naib Yang DiPertua PAS Dungun itu, terdapat juga individu yang menerima tarbiyah dari PAS selama bertahun-tahun, namun tidak yakin dengan perjuangan PAS untuk menuju kemenangan.

"Ada juga pihak tertinggi yang cukup tarbiyyah, bertahun-tahun bersama-sama PAS, ada yang masuk lokap dan tetapi kemungkinan hati kecil tidak yakin PAS menang kerana sudah lama berjuang menyebabkan mereka sudah bosan sehinggalah dapat tawaran lebih baik untuk menang," katanya lagi.

Azman Shapawi diminta untuk mengulas mengenai dakwaan kononnya PAS gagal dalam memperkasa tarbiyyah dalam kalangan ahli-ahli sehingga memperlihatkan perpecahan melalui penubuhan parti serpihan, Parti Amanah Negara (PAN), sebelum ini.

Tegas beliau, PAN bukan merupakan ancaman politik bagi PAS ekoran sambutan hangat di kalangan ahli baru yang menyertai PAS dikatakan mencecah lebih 1,000 ahli setiap bulan. - Kedahnews.com