Lelaki Panjat Kereta Polis Sebab Tak Dapat Dadah Di Pendang


PENDANG - Berang tidak mendapat bekalan dadah, seorang lelaki hilang siuman dan bertindak agresif serta menakut-nakutkan kumpulan penduduk Kampung Lubuk Ular, Mukim Air Putih dekat sini semalam.

Sambil membawa sebatang kayu lelaki berusia 35 tahun itu memanjat bumbung kereta peronda Polis yang datang ke rumahnya setelah dipanggil untuk menenangkan keadaan.

Ketua Polis Daerah Pendang Deputi Superintendan Mohd Fadzil Hashim berkata, lelaki berkenaan sebelum itu turut memukul kenderaan yang lalu di hadapan rumahnya selain cuba menyerang penduduk yang mahu mendekatinya.

"Kita telah menahan suspek kira-kira 3.19 petang kerana suspek bertindak agresif akibat ketagihan dadah," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Menurut Fadzil, suspek yang mempunyai rekod berkaitan dadah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk menjalani rawatan sebelum diambil tindakan selanjutnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952. –Bernama