ALOR SETAR - Polis telah menahan seorang lelaki berumur 36 tahun selepas isterinya membuat laporan mengatakan dia dan anaknya dipukul dan dipaksa mengemis.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Md Zukir Md Isa berkata isterinya yang berusia 29 tahun mendakwa pada 29 Januari lalu dia telah dipukul di bahagian muka oleh suaminya di Stesen Bas Taman Ria manakala tiga anak mereka turut dikasari.
“Mangsa juga turut dipukul selepas itu di Hospital Sultan Abdul Halim kerana dikatakan gagal meminta sedekah daripada orang ramai," ujarnya.
Selain itu, menurut mangsa, suaminya ada membawa salah seorang anak mereka untuk mengemis di hadapan sebuah bank di Pekan Baru Sungai Petani pada 2 Februari lalu sebelum diselamatkan oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO).
“Pada 2 Februari lalu, suami mangsa membawa seorang anak mereka untuk mengemis di hadapan sebuah bank di pekan baru Sungai Petani sebelum diselamatkan sekumpulan anggota badan bukan kerajaan,” katan Md Zukir semalam, memetik laporan Bernama.
Siasatan mendapati bahawa suspek merupakan seorang penganggur dan mempunyai lima orang anak bersama mangsa.
Seterusnya, suspek dipercayai memukul mangsa apabila tidak berpuas hati apabila mendapat sejumlah kecil wang derma selain menuduh isterinya itu curang.
"Tangkapan terhadap suspek sudah dibuat pagi tadi dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan/Seksyen 18 (A) Akta Keganasan Rumah Tangga 2001,” katanya. - Kedahnews.com