Letakkan Redha Allah Sebagai Matlamat Utama, Bukan Menang Pilihan Raya


KAMPUNG RAJA - Semua pemimpin dan ahli PAS diingatkan supaya tidak meletakkan kemenangan dalam pilihan raya sebagai matlamat utama perjuangan, sebaliknya meletakkan redha Allah SWT sebagai sasaran tertinggi parti itu.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Ustaz Hashim Jasin menegaskan, redha Allah SWT adalah lebih utama dalam perjuangan PAS kerana perjuangan tersebut akan mendapat restu-Nya serta diberi kemenangan di dunia dan akhirat.

"Jangan letakkan kemenangan di tempat nombor satu kerana kalau kita bekerja untuk mendapat reda Allah SWT, insyaAllah, akan diberi kemenangan kepada kita," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Himpunan Harapan Semua (Harap 3.5 PGU) di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Dewan Ulamak PAS Kelantan mewakili Menteri Besar Kelantan, Datuk Hassan Mahmu; Pesuruhjaya PAS Terengganu, Satiful Bahari Mamat dan Yang Dipertua PAS Besut, Wan Azhar Wan Ahmad.

Memetik laporan Sinar Harian, Hashim turut membidas tindakan dua tokoh ulama, masing-masing dari Perlis dan Kedah yang sebelum ini mengkritik RUU 355.

Tanpa menyebut nama mereka, Hashim berkata, ulama tersebut menggunakan ilmu mereka untuk menyesatkan kerana menentang penggubalan RUU 355.

Beliau kemudian melakukan gimik memasang bendera pada replika bangunan Wisma Darul Iman tanda menawan Wisma Darul Iman, sekali gus memerintah Terengganu selepas PRU14.

Sementara itu, Satiful Bahri berkata, Besut diharap menjadi ‘pintu’ gelombang rakyat terutama anak muda dalam pemerintahan Terengganu.

"Kita rasa, kita boleh buat perubahan untuk kembali ke Wisma Darul Iman," kata Adun Paka itu. -Kedahnews.com