Mahathir Hanya Perlukan PAS Untuk Elak 1 Lawan 1


ALOR SETAR - Tun Dr Mahathir Mohamad mengaku masih mengharap supaya PAS tidak terus berdegil dan membuat keputusan segera untuk menyertai Pakatan Harapan bersama DAP, PAN, dan PKR, sama seperti tindakan yang diambil oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Pengerusi PPBM itu berkata, setidak-tidaknya jika PAS tetap enggan menyertai Pakatan Harapan, PAS perlu menjalin kerjasama dengan PPBM bagi memastikan tiada pertembungan 3 penjuru di antara kedua parti itu.

"Bagi PPBM kita akan menyertai kerjasama dengan Pakatan Harapan lebih awal daripada PAS.

"Tetapi kita harap PAS akan bersama sekurang-kurangnya dengan Bersatu supaya kita dapat tentukan satu lawan satu. Namun kalau tak dapat, terpaksalah kita terima," kata Mahathir dalam satu sidang media di Petaling Jaya, semalam.

Mahathir hanya mahu kerjasama dari PAS bagi memastikan agenda 1 lawan 1 dengan BN pada PRU ke-14 nanti dapat direalisasikan ekoran banyak kerusi yang dijangka bakal ditandingi parti baru itu akan melibatkan kerusi yang sama ditandingi PAS.

Sementara itu, PAS tetap menegaskan tidak akan menyertai Pakatan Harapan kerana enggan bekerjasama dengan DAP dan PAN, sebaliknya mahu PKR dan PPBM memutuskan hubungan dengan Pakatan Harapan dan menyertai Gagasan Sejahtera yang diketuainya.

PAS yakin bahawa gabungan antara PPBM dan PKR mampu membentuk pasukan pembangkang yang jauh lebih kuat berbanding Pakatan Harapan yang diketuai DAP.

Walau bagaimanapun, Mahathir mendakwa percaturan PAS itu adalah salah dan beliau yakin bahawa gabungan PPBM bersama DAP, PAN dan PKR merupakan pilihan yang lebih tepat berbanding saranan PAS. -Kedahnews.com