ALOR SETAR - Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mendakwa percaturan PAS yang mendakwa pembangkang akan lebih kuat jika bersama Gagasan Sejahtera dan meninggalkan Pakatan Harapan adalah salah sama sekali.
Kata beliau, perkiraan aritmetik PAS tersebut adalah salah, malah ia akan menyebabkan pembangkang lebih lemah.
"Perkiraan aritmetik (PAS) itu salah... Perkiraan aritmetik itu salah," katanya berkali-kali seolah menunjukkan PAS tidak tahu mengira percaturan politik parti berkenaan.
Jelas Mahathir, sekiranya PPBM dan PKR meninggalkan DAP dan PAN di dalam Pakatan Harapan dan menyertai Gagasan Sejahtera yang diketuai PAS, maka akan berlaku pertembungan 3 penjuru pada pilihan raya nanti.
Justeru itu katanya, pertembungan tersebut akan memecah undi di kalangan pembangkang dan sekaligus menggagalkan matlamat pembangkang untuk berkuasa di negara ini.
"Jika kita pergi bersama PAS, mereka (DAP) akan menjadi pembangkang dan kita perlu lawan tiga penjuru dan ia akan pecahkan undi.
"Dan ia akan menyebabkan BN menang," katanya pada sidang media selepas sesi meja bulat 'Selamatkan Malaysia' di Petaling Jaya, semalam.
PAS sebelum ini menggesa PPBM dan PKR supaya meninggalkan Pakatan Harapan yang diketuai DAP, sebaliknya menyertai Gagasan Sejahtera yang diketuai parti Islam itu dan tindakan tersebut disifatkan sebagai memperkuatkan lagi barisan pembangkang menjelang PRU ke-14 nanti.
Pelawaan PAS itu bagaimanapun diselar para pemimpin pembangkang, khususnya Parti Amanah Negara (PAN) yang menganggap percaturan PAS itu hanya akan memecah-belahkan parti pembangkang. - Kedahnews.com