Mahathir Usah Singgung Umat Islam Lepas "Muta'ah" Dengan DAP


ALOR SETAR - Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad disaran supaya lebih baik mendiamkan diri dari terus menyinggung perasaan umat Islam di negara ini dengan kelantangan menolak pindaan Rang Undang Undang Akta 355.

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, Mahathir tidak wajar berbuat demikian meskipun dia kini sudah "bermutaah" dengan DAP.

"Adakalanya, adalah lebih baik bagi Dr Mahathir  mendiamkan diri daripada membuat kenyataan yang menyingung perasaan umat Islam.

"Semua tahu bahawa DAP tidak pernah bersetuju dengan cadangan pindaan RUU berkenaan malahan anggota terbaru DAP iaitu Datuk Zaid Ibrahim telah mengepalai sebilangan orang mengadakan demo membantah cadangan pindaan itu menyerlahkan pendirian parti berkenaan.

"Oleh kerana sudah bermutaah dengan DAP, Dr Mahathir sanggup mengenepikan kepentingan umat Islam yang lain," katanya kepada Kedahnews.com, mengulas mengenai kenyataan Mahathir yang sebelum ini membantah pindaan undang-undang syariah berkenaan.

Mahathir ketika menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun pernah beberapa kali menolak draf pindaan undang-undang syariah berkenaan hudud yang diusahakan Kerajaan Negeri Kelantan dan Terengganu yang ditadbir PAS sebelum ini.

Walau bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengambil pendekatan berbeza dengan menyambut baik usul pindaan RUU 355 itu dengan menyediakan platform untuk mengkaji dan meneliti draf berkenaan dengan kerjasama JAKIM.

Syed Mohd Johan Rizal turut membidas bapa kepada Datuk Seri Mukhriz Mahathir itu yang tergamak menyokong gerakan mencabar kepentingan Islam dan sebaliknya menolak pindaan undang-undang yang memartabatkan agama Allah itu.

"Dr Mahathir menyatakan pindaan berkenaan adalah politik, tetapi yang sebenarnya Dr Mahathir juga berpolitik dalam hal kepentingan umat Islam apabila mengamalkan pendekatan tidak berstuju dengan pindaan itu.

"Jika usaha mencegah jenayah di  kalangam umat Islam melalui RUU355 dianggap merugikan rakyat, apakah berdemo Bersih, amalan LGBT, pluralisme agama seperti yg disanjung anaknya Marina Mahathir membawa kebaikan pada umat ini," tegasnya.

Selain itu, Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar itu turut mencadangkan supaya Pemuda UMNO Negeri bermuzakarah dengan PAS dan beberapa NGO Islam bagi memberi penjelasan yang lebih berkesan kepada orang ramai.

Katanya, usaha memperjelas tentang kepentingan pindaan RUU 355 itu wajar diberi penekanan khususnya kepada umat Islam dan golongan bukan Islam di negara ini yang terpengaruh dengan dakyah mereka yang menolak dan prejudis terhadap usaha murni berkenaan. - Kedahnews.com