Mahfuz Bidas Ketua Penerangan PAS Buka Mulut Tentang Pertemuan Dengan PPBM


ALOR SETAR - Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mahu semua pemimpin PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menutup mulut masing-masing dari membuat sebarang ulasan mengenai pertemuan kedua parti itu baru-baru ini.

Mahfuz sebaliknya mengatakan bahawa hanya Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dengan Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sahaja yang layak berbicara soal pertemuan tersebut.

"Saya fikir pemimpin PAS yang lain tidak perlulah mengeluarkan kenyataan tentang perbincangan kerjasama yang diketuai Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dengan Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mahfuz dalam kenyataannya itu juga membidas para pemimpin PAS yang sebelum ini mengeluarkan kenyataan berhubung pertemuan dengan PPBM itu, termasuk Ketua Penerangan PAS, Nasruddin Hassan.

Katanya, kenyataan yang dikeluarkan Nasruddin itu kononnya telah menyebabkan kekeliruan besar berhubung status hubungan PAS dan PPBM.

"Tuan Ibrahim (selepas pertemuan) kata sudah tubuh jawatankuasa teknikal, Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasruddin Hassan pula keluarkan kenyataan menyatakan hasil pertemuan itu akan dibincang dalam Mesyuarat PAS Pusat, bukankah ia mengelirukan semua pihak?," katanya, memetik laporan Sinar Harian.

Nasruddin sebelum ini menjelaskan bahawa pertemuan di antara PAS dan PBBM masih diperingkat perbincangan dan penelitian, manakala Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menganggap pertemuan itu sebagai pertemuan "biasa" sahaja.

Ketua Penerangan PAS Pusat itu berkata, sudah menjadi polisi parti Islam itu untuk membawa sebarang hasil perbincangan dengan pihak luar parti ke meja Mesyuarat PAS Pusat bagi dibincang dan diteliti sebelum keputusan dibuat.

Mahfuz sebelum ini merupakan bekas Ketua Penerangan PAS, namun tidak lagi dilantik ke jawatan berkenaan selepas pemilihan pucuk pimpinan PAS yang menyaksikan parti itu berpecah teruk dan lahirnya parti serpihan, Parti Amanah Negara (PAN). - Kedahnews.com