Mahfuz Bidas PAS Beri Syarat Sukar Pada Parti Pembangkang


ALOR SETAR - Ahli Parlimen PAS, Datuk Mahfuz Omar mendakwa syarat yang dikemukakan PAS kepada parti-parti pembangkang untuk meninggalkan rakan sekutu mereka, DAP dan Parti Amanah Negara (PAN) merupakan syarat yang terlalu sukar untuk dipenuhi.

"Lupakanlah titik perit dengan DAP dan PAN, ini wadah baru. PAN wadah baru, PPBM wadah baru, dengan PKR pun nak letak syarat kalau tinggalkan PAN, tinggalkan DAP baru kami (PAS) akan teruskan kerjasama.

"Takkanlah kita nak letakkan syarat-syarat yang begini sukar untuk orang nak penuhi?," katanya, membidas pendirian dan syarat yang dikemukakan PAS kepada parti pembangkang yang mahu bekerjasama dengan parti itu.

PAS sebelum ini menegaskan kepada parti yang berhasrat menjalin kerjasama politik dengannya supaya segera meninggalkan DAP dan PAN, untuk bersama menganggotai Gagasan Sejahtera yang diketuai parti Islam itu.

Selain itu, Mahfuz turut menegaskan bahawa sekiranya PAS membuat U-turn untuk kembali ke pangkuan DAP, PAN, PKR dan PPBM sekalipun, beliau mendakwa rakyat akan melihat tindakan tersebut sebagai "pengorbanan" dari PAS.

"Tapi kalau ini tidak dilakukan oleh pimpinan PAS, ini bermakna bahawa rakyat akan menolak PAS pada pilihan raya umum yang akan datang," katanya lagi.

Berucap di ceramah politik di Pokok Sena kelmarin bersama kepimpinan PAN seperti Salahuddin Ayub dan Datuk Dr Ismail Salleh, Mahfuz turut menggesa ahli PAS supaya menggesa pemimpin PAS berubah fikiran untuk kembali ke pangkuan Pakatan Harapan yang diketuai DAP.

Turut hadir berceramah di situ adalah Penasihat Strategik Lim Guan Eng yang juga merupakan pemimpin kanan PKR, Saifuddin Nasution, dan Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Mengulas mengenai jumlah himpunan jemaah PAS yang ramai, Mahfuz mengimbas kembali himpunan Hijau PAS Ke Putrajaya di Stadium Darul Aman pada sekitar 2012 lalu yang dianggarkan 80,000 peserta hadir ke perhimpunan politik tersebut.

Katanya, walaupun begitu ramai memenuhi stadium berkenaan, PAS tetap tewas di tangan BN pada 2013, sekaligus beliau mendakwa bahawa parti itu amat perlu menjalin kerjasama dengan DAP, PKR, PAN dan PPBM pada PRU yang akan datang.

"Kalau kita nak berhimpun ramai, kita kata tengok ramai kita kata boleh menang, saya ingat tahun 2012, Himpunan Hijau Ke Putrajayadi Stadium Darul Aman, saya pengarah program, tak kurang dari 80,000 orang hadir.

"Tapi pada pilihan raya umum 2013, kerajaan Pakatan Rakyat yang diteruji PAS kalah," katanya tanpa menyatakan faktor-faktor utama lain yang menyumbang kepada kekalahan Pakatan Rakyat di negeri Kedah sebelum ini.

Difahamkan konflik dalaman yang berlaku di dalam PAS yang melibatkan perancangan merampas kuasa dari pimpinan Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak terlalu meruncing ketika itu dan menjadi faktor paling besar kekalahan Pakatan Rakyat di negeri berkenaan.

Selain kemampuan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang menyatukan UMNO di Kedah dalam tempoh tersebut, konflik-konflik yang berlaku di dalam PAS menyebabkan rakyat beralih arah dan mengembalikan Kedah ke pangkuan BN pada PRU ke-13 yang lalu. -Kedahnews.com