Mahfuz Kasihan Pada Ahli PAS


ALOR SETAR - Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar meluahkan rasa kasihan beliau terhadap semua ahli PAS yang sebelum ini bekerja keras untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN), namun kini terpinggir dari pakatan pembangkang.

"Saya kasihan pada orang-orang bawah PAS ini yang telah bertungkus lumus selama ini, membentuk parti ini untuk mengalahkan UMNO dan Barisan Nasional bagi mengambil alih tampuk pemerintahan dalam negara kita.

"Jadi sudah tentu saya tidak mahu melihat parti PAS ini terus terpinggir daripada arus perdana politik negara pilihan raya umum (PRU) yang akan datang ini," katanya.

Meletakkan kemenangan sebagai matlamat utamanya, Ahli Parlimen PAS itu tetap mendesak PAS supaya mengubah pendirian dan kembali bekerjasama dengan Pakatan Harapan yang diketuai oleh DAP.

Semalam, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Ustaz Hashim Jasin memberi peringatan kepada seluruh pemimpin dan ahli PAS supaya tidak meletakkan kemenangan pilihan raya sebagai matlamat utama parti tersebut.

Sebaliknya, tokoh ulama PAS yang berasal dari Perlis itu menegaskan bahawa redha Allah merupakan matlamat tertinggi parti berkenaan kerana perjuangan tersebut akan mendapat restu-Nya serta diberi kemenangan di dunia dan akhirat.

Mahfuz berkata sedemikian ketika berucap di pentas politik Ceramah Perdana yang turut dihadiri oleh Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (PAN) seperti Salahuddin Ayub dan Pengerusi PAN Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh di Pokok Sena, kelmarin.

Turut hadir di ceramah politik berkenaan adalah Penasihat Strategik Lim Guan Eng yang juga merupakan pemimpin utama PKR, Saifuddin Nasution, dan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mukhriz Mahathir. - Kedahnews.com