Mahfuz Sebenarnya Hanya Bertopeng Saja - PAS Pokok Sena


ALOR SETAR – Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar diberi amaran agar tidak terus mempergunakan jawatannya untuk dijadikan modal bagi mengkritik PAS, malah terus menerus didesak letak jawatan daripada terus menjadi “duri dalam daging”.

Pemangku Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Pokok Sena, Wan Romani Wan Salim berkata, memandangkan Mahfuz sudah banyak kali melakukan perkara yang menunjukkan beliau tidak lagi anggota PAS jadi tidak perlulah rasa terikat dengan sumpah bai'ah.

"Menurut Fasal 11 (4) perlembagaan PAS, mana-mana ahli mestilah patuh pada perlembagaan parti dari semasa ke semasa. Justeru mana-mana ahli yang tidak patuh dengan keputusan parti, dia bukanlah ahli PAS walaupun dia mendakwa dirinya sebagai ahli," katanya.

Tambah Wan Romani, Mahfuz kini dilihat semakin melampaui batas dan hanya berselindung disebalik nama PAS sahaja, hakikatnya kini beliau langsung tidak mengikut segala arahan yang diberikan PAS selama ini.

"Dia cakap janganlah retorik, sebenarnya dia bertopeng saja, walau dia anggota pimpinan dan bekas pimpinan parti, syarat ahli mesti mematuhi perlembagaan PAS dan mestilah mengikut arahan parti dari semasa ke semasa.

"Sebagai anggota parlimen yang menang kerana kerja keras peringkat kawasan dan cawangan, dia sepatutnya patuh pada keputusan parti. Sepatutnya pemimpin yang tiada integriti tidak layak duduk dalam PAS," katanya lagi.

Sebelum ini, Mahfuz  tanpa berselindung telah mengkritik dasar yang dibawa PAS dan pemimpin teratas parti Islam tersebut.

Selain itu, bekas Pesuruhjaya PAS Kedah itu juga acap kali dilihat sering bergandingan dengan pemimpin Pakatan Harapan yang diketuai DAP dan kerap kali hadir dalam program mereka malah duduk sepentas dengan musuh PAS sendiri.-Kedahnews.com