"Mahfuz Takut Kalah Jika Keluar Dari PAS..."


ALOR SETAR - Keengganan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar untuk keluar dari PAS adalah disebabkan ketakutan beliau untuk tewas bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 ekoran tiada sokongan dari ahli dan penyokong PAS.

Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, Mahfuz sedar bahawa kemenangannya di parlimen itu sebelum ini adalah bersandarkan kepada kekuatan ahli PAS di kawasan itu.

Namun katanya, jika Mahfuz bertindak keluar dari PAS dan bertanding atas tiket parti barunya, maka berkemungkinan besar beliau akan kalah bertanding di situ ekoran kekuatan parti baru itu tidak setanding dengan kekuatan PAS di Pokok Sena secara keseluruhan.

"Tindakan Mahfuz  yang tidak mahu keluar daripada PAS jelas mengambarkan ketakutan beliau dalam menghadapi pilihanraya umum akan datang apabila tiada lagi sokongan PAS.

"Kemenangan Mahfuz di peringkat Parlimen Pokok Sena adalah kerana sokongan kuat ahli Pas kawasan itu.

"Sudah pasti apabila Mahfuz bercerai dengan PAS, maka tiada lagi sokongan penyokong PAS.

"Dan jika beliau bertanding atas tiket Parti Amanah Negara (PAN) atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sekalipun, sokongan tidak akan kuat seperti bersama PAS, kerana PAN dan PPBM tidak mempunyai pengaruh yang kuat di Kedah," katanya kepada Kedahnews.com, di sini hari ini.

Selain itu, Syed Mohd Johan Rizal juga mengatakan bahawa Mahfuz sepatutnya rasa malu untuk mengucapkan rasa "sayang" pada PAS selepas "diusir" oleh kepimpinan PAS Kawasan Pokok Sena dan kepimpinan utama PAS di peringkat Pusat.

Katanya, tindakan mengusir Mahfuz itu juga menggambarkan PAS Kedah kini juga sedang bergelut dengan masalah dalaman yang semakin meruncing gara-gara sebilangan pemimpin dan ahlinya yang mungkin mengalami krisis identiti parti.

"Semenjak tertubuhnya PAN yang diterajui sebilangan bekas pemimpin PAS, parti itu berhadapan dengan sebilangan mereka yang 'benci tetapi rindu' kepada PAS.

"Sehingga ada yang tidak sanggup mengistiharkan di manakah kedudukan mereka sebenarnya, walaupun perwatakan mereka amat sayang kepada parti serpihan PAS itu," katanya.

Jelasnya, Mahfuz sendiri dilihat keliru dan berbelah bahagi sama ada mahu menyertai PAN atau PPBM sekiranya meninggalkan PAS ekoran rakan-rakan baiknya lebih ramai berada di dalam PAN, namun beliau mungkin berpeluang untuk meraih jawatan penting PPBM di Pokok Sena.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah sebelum ini menunjuk jalan keluar kepada Mahfuz untuk keluar parti sekiranya terus menyerang PAS secara terbuka dan amaran tersebut turut disokong Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

PAS Pokok Sena kelmarin dalam satu sidang media bertindak menyelar keras Mahfuz sebagai "bertopeng" dan mendesak Ahli Parlimen Pokok Sena itu supaya keluar parti dan menyertai parti lain. - Kedahnews.com