Makam Ulama Di Pulau Bidan Jadi Tempat Puja Hajat


PULAU Bidan yang merupakan satu dari beberapa gugusan pulau di daerah Yan dikatakan menyimpan khazanah mengenai perkuburan seorang ulama tersohor iaitu Makam Tok Keramat Haji Abdur Rashid.

Kisah tersebut juga diceritakan semula oleh seorang pengumpul sejarah lisan yang juga pengamal perubatan tradisional, Said Abu, 92, dari Kampung Bukit Pendiat, Merbok, Kedah.

Said yang ditemui menyatakan kisah itu disampaikan kepadanya oleh seorang tokoh agama yang tinggal sekampung iaitu Haji Abdul Rahman Salleh yang sudah meninggal dunia beberapa tahun lalu yang turut terlibat dalam perpindahan Makam Tok Keramat dari Pulau Bidan ke sebuah perkuburan di Yan.

"Makam tok keramat dipindahkan kerana sejak dimakamkan di pulau tersebut, ia menjadi tempat pemujaan individu tertentu bagi memohon hajat," katanya.

Terhidu bau harum

Pulau Bidan merupakan salah satu daripada beberapa buah pulau lain seperti Pulau Telur, Pulau Songsong dan Pulau Bunting di Yan yang dipercayai wujud melalui sumpahan Sang Gedembai berdasarkan kisah zaman terdahulu.

Untuk sampai ke pulau terbabit, seseorang perlu menggunakan perkhidmatan bot melalui Tanjung Dawai dengan perjalanan pergi mengambil masa selama lebih kurang satu jam.

Said berkata, dia pernah dibawa sekumpulan enam individu ke Pulau Bidan lebih 20 tahun lalu untuk menemani mereka memohon hajat mendapatkan sesuatu di makam itu, namun tidak mampu berkata apa-apa memandangkan kesemua mereka terdiri daripada golongan berpendidikan dan berkedudukan.

“Sehinggalah saya diceritakan oleh Abdul Rahman yang menguruskan bacaan doa sepanjang urusan perpindahan kubur tok keramat bersama pegawai yang ditauliahkan untuk proses pengebumian semula di Yan," katanya.

Menurutnya, daripada yang diceritakan, ketika rombongan yang bertolak pada waktu siang sedang menggali, semua yang terlibat terhidu bau harum yang datangnya dari jasad jenazah. 

“Apabila ditemukan jasad itu terlihat sekujur tubuh kaku namun masih segar seolah-olah baru sahaja meninggal dunia.

“Proses menggali selesai pada jam 8 malam, mereka bertolak ke Tanjung Dawai membawa jenazah kemudian menaiki kenderaan terus sahaja ke sebuah masjid di Yan dan proses pengebumian semula dilakukan kira-kira jam 10.30 malam,” katanya kisah itu berlaku kira-kira 20 tahun lalu.

Ada kaitan dengan ulama tersohor Nusantara

Menurut Said, apa yang diceritakan Abdul Rahman, Tok Keramat Abdur Rashid mempunyai kaitan saudara dengan ulama tersohor Nusantara, Sheikh Daud Abdullah Fathani yang dikenali dengan panggilan Tok Syeikh Daud Patani.

Sementara itu, pengumpul sejarah lisan, Rosini Hashim berkata, sebelum dipindahkan, generasi terbaharu Tok Keramat Haji Abdur Rashid pernah menerima alamat melalui mimpi agar makamnya di Pulau Bidan yang dipercayai wujud sejak beratus tahun dahulu dipindahkan ke tempat selamat.

“Apa yang diketahui, generasi kelima dan keenam tok keramat yang berusaha memindahkan makam berkenaan setelah mendapat alamat menerusi petanda mimpi tersebut.

“Urusan perpindahan dan pengebumian semula di Yan pula difahamkan telah diperkenankan dan mendapat persetujuan kerabat diraja pada ketika itu.

“Sejak dari tarikh itulah, makam tersebut dipindahkan dan sehingga kini dirahsiakan lokasi bagi mengelakkan menjadi amalan karut dan khurafat masyarakat kini,” katanya.

Lokasi makam dirahsiakan

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah , Datuk Dr Wan Shamsudin Mohd Yusof berkata, pihaknya ada memohon pengesahan daripada Pejabat Agama Daerah Yan berhubung kisah Tok Keramat Pulau Bidan yang telah dipindahkan makamnya.

Menurutnya, berdasarkan penceritaan lisan sebelum ini katanya, ada seorang ulama dari Pattani yang pulang menuntut dari Makkah menggunakan kapal.

"Apabila sampai di satu tempat, layarnya dipukul angin dan tenggelam. Jenazahnya kemudian diselamatkan oleh anak kapal dan dikebumikan di Pulau Bidan kerana kedudukan yang paling hampir dengan lokasi kejadian.

“Diceritakan, ulama itu bernama Abdur Rashid dan dikenali sebagai Tok Keramat difahamkan mempunyai kaitan salah silah keturunan dengan mufti di Negeri Sembilan suatu ketika dahulu.

“Apabila menjadi lokasi pemujaan ramai, makam berkenaan dipindahkan dan dirahsiakan bagi mengelakkan unsur syirik dan khurafat,” katanya.

Wan Shamsudin berkata, sebagai pencinta sejarah, beliau menyarankan agar lokasi makam berkenaan didedahkan kerana ia mampu menarik kedatangan pelancong terutama susur galur ulama terbabit yang berasal dari Pattani.

“Kita harap kita dapat ketengahkan supaya makam ulama seperti ini dimartabatkan menjadi rujukan dan kunjungan pengkaji sejarah serta ilmuan agama sekalig us mampu menarik kedatangan pengunjung ke sini.

“Bagi mengelakkan unsur khurafat, seeloknya makam tersebut dipagarkan, dikawal dan dijaga rapi dengan baik,” katanya.

Sumber: Sinar Harian