Media Sosial Kecoh Kisah Jururawat Irnina Osman Di Jeddah


ALOR SETAR - Tular di media sosial mengenai seorang jururawat wanita warga Malaysia bekerja di Jeddah mendakwa telah diceraikan suami dan ingin pulang ke Malaysia bersama dua anaknya.

Dakwa wanita yang hanya dikenali sebagai Irnani Osman itu, semua dokumen dan visa beliau kini berada di tangan bekas suaminya, manakala kononnya pihak konsulat Malaysia tidak dapat membantunya pulang ke tanahair.

Kata Irnani dalam video yang tular di kalangan pengguna media sosial itu, dia kini mengandung 4 bulan dan diceraikan suami kira-kira 3 bulan lalu serta terpaksa menumpang di rumah rakan-rakannya di sana.

"Saya Irnani binti Osman, bekerja di Jeddah, sudah berumah tangga selama enam tahun bersama suami saya, Azmi Junaidi. Baru-baru ini saya diceraikan pada bulan Disember tahun lalu.

"Kini saya ingin pulang ke Malaysia dengan anak-anak saya. Masalahnya saya tidak dapat pulang disebabkan suami saya enggan memberi kebenaran untuk membawa anak-anak pulang, disebabkan permasalah visa dan dokumen anak-anak berada di tangan suami saya.

"Kami tidak ada tempat untuk tinggal. Cuma menumpang di rumah kawan-kawan selama sebulan ini. Saya cuba mendapatkan bantuan dari konsulat Malaysia di Jeddah, namun mereka tidak dapat membantu.

"Saya minta dan berharap sangat-sangat kepada sesiapa yang dapat membantu kami untuk bawa kami pulang ke Malaysia dengan secepat mungkin. kami tiada sesiapa di sini.

"Saya sekarang juga tengah mengandung anak nombor ketiga dan kandungan baru berusia 4 bulan. Saya berharap sangat dapat bantuan dari sesiapa yang dapat membawa kami bertiga pulang," katanya di dalam video berkenaan.


Tidak adil untuk mendengar dari satu pihak saja, suami kepada Irnani tampil memberi penjelasan terhadap dakwaan tersebut.

 "Saya sengaja senyap untuk melihat sejauh mana viral ini akan pergi dan siapa yang akan komen. Hanya Allah yang tahu siapa yang benar dan sebaliknya.

"Urusan Visa itu boleh dibuat secara online. Pihak konsulat sudah uruskan semua. Cuma Irnani ini nak bypass semua level, uruskan tanpa mahu mengikut prosedur selain tidak mahu bawa berbincang. Semua yang dia fikir dan nak buat, dia ingat boleh redah begitu sahaja tanpa mengikut prosedur.

"Kalau saya dera anak-anak, tak akan sihat dan chubby seperti dalam video yang saya rakam semalam bila dia dan anak-anak ada dalam rumah yang saya sediakan," katanya yang hanya dikenali sebagai Azmi.


Suami Irnani turut mendapat sokongan dari seorang warganegara Malaysia yang menetap di Jeddah yang dikenali sebagai Abie Hafizadic yang mendakwa kenyataan Irnani dalam video berkenaan adalah tidak benar.

Menurutnya, komuniti Malaysia di sana sangat rapat dan sering bertemu setiap minggu dengan anak-anak Irnani dan Azmi.

Jelasnya, Irnani sebenarnya tidak menumpang di mana-mana rumah rakan seperti yang didakwa dan masalah yang dihadapi oleh wanita berkenaan sememangnya mendapat perhatian konsulat Malaysia di Jeddah.



Tidak dapat dipastikan tentang apakah sebenarnya yang berlaku di antara Azmi dan Irnina di negara Timur Tengah itu, namun pengguna media sosial di negara ini sudah kecoh mencetus spekulasi sendiri meskipun tidak tahu cerita sebenar di sebalik konflik rumah tangga itu.

Agak pelik juga sekiranya difikirkan sama ada sah penceraian sebagaimana yang didakwa Irnina kerana menurut hukum Islam, tidak jatuh talak itu sekiranya dilafaz suami terhadap isterinya yang sedang mengandung dan pasangan itu hanya boleh disahkan bercerai setelah tempoh tertentu anak yang dikandung itu lahir. 

Walau bagaimanapun, pihak kami hanya mampu berdoa akan Allah SWT membuka ruang bagi menyelesaikan masalah yang menimpa pasangan tersebut demi kepentingan dan masa depan anak-anak mereka yang masih kecil. - Kedahnews.com