Mekanik Di Kuala Ketil Ditahan Kerana Miliki Pistol, 2 Butir Peluru


ALOR SETAR – Seorang suspek yang bekerja sebagai seorang mekanik berusia 38 tahun telah ditahan kerana memiliki sepucuk pistol dan kelopak peluru yang mengandungi dua butir peluru di Kampung Sisik Lantai, Kuala Ketil, Baling pada Selasa lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Asri Yusof berkata pistol dan kelopak peluru itu ditemukan di belakang rumah suspek.

“Pistol dan kelopak peluru ditemui di dalam plastik yang dibungkus dan diletak di celah batu di belakang rumahnya,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Selain itu, beliau menjelaskan bahawa suspek juga didapati positif dadah dan mempunyai rekod kesalahan lampau.

Memetik laporan Bernama, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana memiliki pistol yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara hinga 14 tahun dan enam kali sebatan.

Difahamkan bahawa suspek juga di siasat mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 kerana memiliki peluru yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga tujuh tahun atau denda hingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali, kata Asri.

“Kita masih menyiasat di mana pistol dan peluru itu diperolehi suspek dan tujuan apa dia memilikinya,” katanya dan menambah suspek direman sehingga 28 Feb ini untuk siasatan lanjut.

Sementara itu dalam kes berasingan, pihak polis menahan 13 suspek berusia antara 30 hingga 50 tahun yang dipercayai anggota kongsi gelap yang bergerak aktif dengan melakukan jenayah pemerasan dan ugutan di Langkawi, Kuala Muda dan Kulim.

Tangkapan dijalankan menerusi Ops Cantas Khas pada 20 Feb lalu.

“Mereka yang kita tahan terdiri dari kumpulan 04, 36 dan 08 dan polis tidak akan berkompromi dengan kumpulan-kumpulan ini. Kesemua mereka di siasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Pencegahan Jenayah 1959,” katanya.

Beliau berkata pihak polis menahan 98 orang anggota kumpulan ini.

“Kita masih memburu tiga lagi suspek dan meminta orang ramai yang menemui dan mengenali mereka agar segera menghubungi pegawai polis di talian 04-7741541,” katanya.- Kedahnews.com