Menang Penalti, JDT Ke Pusingan Kelayakan Akhir ACL


BANGKOK – Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) mara ke pusingan kelayakan akhir Liga Juara-Juara Asia (ACL) selepas menang tipis 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti ke atas kelab Thailand, Bangkok United pada pusingan kedua di Stadium Thammasat, Pathum Thani, malam semalam.

Perlawanan berkenaan terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1, termasuk ketika masa tambahan 30 minit.

Pada aksi malam ini, kedua-dua pasukan gagal memecah kebuntuan sehingga tamat 90 minit permainan sehingga ia dilanjutkan ke masa tambahan.

Kapten JDT, Safiq Rahim membuka tirai jaringan pada minit ke-108 sebelum pemain gantian, Jaycee John Okwunwanne menjaringkan gol penyamaan pada minit-minit akhir perlawanan.

Terdahulu, JDT terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas pemain importnya dari Argentina, Jeronimo Barrales dilayangkan kad merah oleh pengadil setelah mengasari pemain tuan rumah pada minit ke-110.

Cabaran sebenar menanti JDT apabila dijadual menentang kelab Liga Jepun, Gamba Osaka pada aksi pusingan kelayakan akhir di Stadium Suita City, Osaka, Jepun pada 7 Februari ini.

Sekiranya menang, skuad Harimau Selatan akan beraksi dalam Kumpulan H ACL bersama tiga pasukan lain – Adelaide United dari Australia, Jiangsu Suning (China) dan Jeju United (Korea Selatan).

JDT akan turun semula beraksi dalam saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sekiranya tewas kepada Gamba Osaka. – BERNAMA