Muhyiddin Mahu PAS, Mahathir Tolak PAS?


ALOR SETAR - Kenyataan dua pemimpin utama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin seakan-akan bercanggah tentang kepentingan menjalin hubungan dengan PAS.

Muhyiddin yang merupakan Presiden PPBM dilapor menyatakan tentang kepentingan menjalin kerjasama dengan PAS

"Kalaulah pimpinan-pimpinan yang mewakili Pakatan Harapan dan PPBM ,dan termasuk juga PAS bersedia untuk mengetepikan apa-apa perbezaan sesama kita dan meletakkan sasaran kepentingan rakyat mengatasi segala-galanya, maka sasaran kita untuk berjaya dalam pilihan raya untuk memenuhi harapan rakyat Insha Allah akan terjadi dan termakbul.

"Maka saya kira tidak ada gunung setinggi mana pun yang tidak boleh kita daki asalkan kita ada azam dan iltizam yang kuat," katanya dalam satu kenyataan yang dipetik dari portal pro-pembangkang, Malaysiakini, semalam.

Namun lain pula dengan Mahathir yang merupakan Pengerusi PPBM yang dikatakan langsung tidak menyebut nama PAS dan yakin bahawa empat parti gabungan pembangkang yang menjalin kerjasama mampu merampas kuasa dari Barisan Nasional pada PRU ke-14 nanti.

"Walaupun kita mempunyai empat buah parti, tapi jika dicantum empat  buah parti, dan kita tumpukan kepada satu sahaja matlamat, percayalah, kita akan dapat bersaing dengan BN," ujar bapa kepada Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir itu.

Mahathir sebelum ini dilaporkan pernah melepaskan geram terhadap PAS dan mahu Pakatan Harapan melupakan kerjasama dengan PAS ekoran keengganan parti itu berganjak pendirian menolak sebarang kerjasama dengan DAP dan PAN.

Bapa Mukhriz itu turut dikatakan telah menyinggung perasaan PAS apabila memberi kata dua kepada parti itu dengan memberikan tempoh sebulan untuk memilih sama ada menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan atau tidak.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam kenyataan balasnya menegaskan bahawa mereka tidak memerlukan tempoh sebulan untuk membuat keputusan tersebut dan memutuskan untuk tidak lagi meneruskan perbincangan dengan PPBM berhubung kerjasama politik antara dua parti tersebut. - Kedahnews.com