Mukhriz (kiri) ketika hadir himpunan Bersih 5 sebelum ini |
ALOR SETAR - Datuk Seri Mukhriz Mahathir mahu Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud menjelaskan kepada rakyat Malaysia berhubung sumbangan yang diberikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sebelum ini.
Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu berkata, Raja Salman perlu mengesahkan pemberian sumbangan tersebut bagi membersihkan nama baik kerajaan Arab Saudi di negara ini.
"Demi nama baik Malaysia yang kini terpalit dengan skandal politik terburuk, Raja Salman perlu mengesahkan dakwaan seorang Putera Raja Arab Saudi telah menderma wang kepada Najib.
"Saya harap isu itu diperjelaskan baginda kerana isu berkenaan turut jejaskan nama baik kerajaan Arab Saudi, kerana dikaitkan wang derma.
"Persoalan ini perlukan pengesahan Raja Salman sendiri," kata Mukhriz, memetik laporan Sinar Harian, di sini, hari ini.
Bapa Mukhriz yang juga merupakan Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini menyifatkan keluarga DiRaja Arab Saudi sebagai "arab gila" kerana memberi sumbangan derma sebanyak RM2.6 bilion kepada Perdana Menteri.
Selain itu, Mukhriz turut mempersoal tentang kebenaran di sebalik dakwaan sumbangan itu adalah sebagai dana politik untuk UMNO dan menangani ancaman pengganas seperti yang beliau dakwa diperkatakan oleh beberapa menteri sebelum ini.
"Betulkah itu wang derma kerana jumlahnya terlalu banyak. Jika ya, adakah wang itu untuk dana pilihan raya UMNO?
"Atau untuk membiayai gerakan menentang ancaman Isis dan Yahudi seperti dikatakan beberapa Menteri Kabinet?," soal Mukhriz, namun tidak menyatakan nama menteri terbabit.
Mukhriz dalam kenyataannya turut mendakwa rakyat di negara ini mengharapkan agar isu berhubung sumbangan tersebut diperjelaskan oleh Raja Salman supaya rakyat mengetahui kebenarannya.
Sebelum ini, beberapa badan agensi bebas yang ditugaskan untuk menyiasat berhubung dakwaan sumbangan itu seperti SPRM, PDRM, Jabatan Audit Negara, PAC dan sebagainya telah mengesahkan bahawa dana berkenaan datangnya dari Arab Saudi.
Walau bagaimanapun, Mukhriz dan bapanya, Mahathir serta pihak pembangkang enggan menerima pengesahan rasmi siasatan bebas tersebut.
Mereka sebaliknya mendakwa kononnya dana tersebut mempunyai hubung kait dengan isu 1MDB yang didakwa pemilik portal propagandan pembangkang, Sarawak Report, milik Claire Rewcastle Brown.
Namun begitu, tiada fakta sahih yang mengesahkan dakwaan Mukhriz, bapanya dan pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan itu. - Kedahnews.com