ALOR SETAR - Status DAP sebagai sebuah parti politik yang kononnya berbilang kaum di negara ini hanyalah sekadar "kosmetik" bagi mengelirukan rakyat dan meraih undi dari para pengundi di negara ini.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar, Syed Hafiz Syed Mustafa berkata, hakikatnya perjuangan DAP hanyalah berpaksikan kepada kepentingan satu kaum sahaja manakala kaum minoriti selebihnya dalam parti itu hanyalah sekadar "pak turut".
"Saya melihat DAP sebagai sebuah parti politik yang kononnya multi-racial (berbilang kaum), kononnya semua kaum boleh menyertai DAP.
"Tapi pada saya itu hanyalah 'kosmetik' DAP, dari sudut luar sahaja. Jika diteliti tentang tindakan dan apa yang mereka perjuangkan hanya untuk satu kaum saja, manakala kaum-kaum lain hanya jadi 'pak turut'," katanya kepada Kedahnews.com di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Syed Hafiz berpandangan bahawa sejarah DAP itu sendiri mencerminkan sikap para pemimpin parti itu yang bersifat "anti-Islam" dengan membantah pelbagai isu yang berkaitan kepentingan agama Islam di negara ini.
"Dari sudut perjuangan DAP ini saya lihat daripada dulu lagi mereka suka mencetus pelbagai insiden dan kontroversi terutama mengenai kepentingan bangsa Melayu dan agama Islam, termasuklah peristiwa 13 Mei, isu negara Islam, isu undang-udang syariah dan sebagainya.
"Mereka guna alasan kononnya memartabatkan Perlembagaan Persekutuan. Padahal mereka lupa bahawa intipati terbesar Perlembagaan Persekutuan itu menyerap masuk unsur tradisi utama iaitu kepentingan bangsa Melayu dan agama Islam.
"Tanpa dua unsur tradisi itu (Melayu dan Islam), tidak mungkin Perlembagaan Persekutuan itu dipersetujui dan terbentuk. Hanya selepas unsur-unsur tradisi itu dipersetujui, barulah dapat diterima prinsip jus soli dan seterusnya perlembagaan negara terbentuk," tegas beliau.
Setiausaha Pemuda UMNO Negeri itu diminta mengulas mengenai kenyataan Pengarah Pusat Kajian Politik Malaysia Universiti Utara Malaysia, Dr. Kamarul Zaman Yusoff yang sebelum ini menyenaraikan fakta-fakta yang menunjukkan DAP merupakan sebuah parti politik yang bersifat "anti-Islam".
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am PAS, TG Ustaz Hashim Jasin dalam kenyataan mereka yang terkini menyifatkan DAP sebagai sebuah parti politik "anti-Islam" dan menegaskan tidak akan sesekali bekerjasama dengan parti itu lagi selepas ini.
Meskipun pembangkang mendakwa Datin Seri Wan Azizah Wan Ismasil sebagai ketua mereka, difahamkan bahawa DAP hakikatnya mengetuai Pakatan Harapan yang dianggotai oleh PKR dan Parti Amanah Negara (PAN), serta kini bekerjasama erat dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). - Kedahnews.com