Nautical Aliya Dijangka Tiba Di Pelabuhan Yangon Hari Ini


DI ATAS KAPAL NAUTICAL ALIYA – Kapal ‘Nautical Aliya’ yang dalam misi kemanusiaan ‘Food Flotilla For Myanmar’ dijadualkan berada di perairan Yangon, Myanmar malam ini dan memasuki pelabuhan Yangon hari ini.

“Semangat sukarelawan tinggi ketika ini, kapal akan tiba dekat Yangon malam ini iaitu kira-kira 11.30 malam (waktu Malaysia) namun kita hanya boleh masuk ke pelabuhan esok ketika air pasang,” kata ketua misi kemanusiaan itu Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, semalam.

Beliau berkata sebanyak 500 tan bekalan makanan dan ubat-ubatan akan diserahkan kepada kerajaan Myanmar di pelabuhan itu.

Selepas itu, kapal berkenaan akan meneruskan pelayaran ke pelabuhan di Chittagong, Bangladesh dengan perjalanan mengambil masa tiga hari dan dijangka tiba pada 12 Feb, katanya kepada para pemberita di atas kapal tersebut.

Misi yang masuk hari keenam itu membawa makanan, keperluan perubatan, keperluan harian, pakaian dan selimut untuk membantu masyarakat Rohingya yang didakwa ditindas.

Menurut Abdul Azeez sukarelawan dijangka menggunakan jalan darat sejauh 130 km dari Chittagong untuk ke bandar tepi laut Cox’s Bazar, sebelum meneruskan perjalanan ke kem pelarian Rohingya, antaranya di Kutapalong dan Nayapara yang menempatkan lebih 30,000 etnik itu.

“Pasukan lain yang kini berada di Bangladesh sedang membuat pemeriksaan dan kenal pasti madrasah atau sekolah yang boleh kita agihkan bantuan.

“Apa yang kita harapkan kerajaan Bangladesh memberikan ‘Visa On Arrival’ untuk sukarelawan turun memberi bantuan kepada etnik Rohingya,” katanya.

Beliau berkata lebih 1,500 tan bekalan makanan dan perubatan akan dibawa ke kem pelarian menggunakan treler serta baj dari Chittagong.

Misi itu yang dianjurkan Kelab Putra 1Malaysia (KP1M) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) disertai 195 sukarelawan dari 12 negara melibatkan pasukan perubatan, tenaga pengajar, pengamal media tempatan dan antarabangsa, serta badan bukan kerajaan tempatan dan luar negara. – BERNAMA