YANGON – Setelah menempuh pelayaran selama tujuh hari dari Pelabuhan Klang, Selangor, akhirnya kapal Nautical Aliya yang membawa misi Flotila ke Myanmar selamat berlabuh di sini.
Kapal yang menghantar bantuan barangan keperluan harian kepada etnik Rohingya itu tiba dan berlabuh di Terminal Antarabangsa Thilawa Myanmar (MITT) kira-kira pukul 3 petang (4.30 petang waktu Malaysia).
Majlis penyerahan bantuan seberat 500 tan kepada pihak berkuasa Myanmar kemudian diadakan secara ringkas di dermaga pelabuhan sebagai simbolik penyerahan bantuan kepada etnik minoriti Muslim di negara tersebut.
Ia diserahkan sendiri oleh ketua misi kemanusiaan Malaysia, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim kepada Menteri Kebajikan Masyarakat, Bantuan dan Penempatan Semula Myanmar, Dr. Win Myat Aye.
Majlis bersejarah tersebut turut disaksikan oleh Timbalan Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Duta Besar Malaysia ke Myanmar, Mohd. Haniff Abdul Rahman.
Nautical Aliya mula berlabuh di perairan Myanmar kira-kira pukul 11.20 malam Rabu (waktu Malaysia) sebelum ditunda untuk memasuki MITT oleh jurukemudi pelabuhan pada pukul 1.40 petang (waktu Malaysia).
Perjalanan dari lokasi berlabuh ke dermaga pelabuhan Yangon yang jaraknya 10 batu nautika mengambil masa kira-kira tiga jam dan Nautical Aliya merapat ke dermaga pelabuhan pada pukul 4.40 petang waktu Malaysia
Flotila antarabangsa berkenaan yang membawa seramai 184 sukarelawan daripada 12 buah negara termasuk Malaysia turut membawa bersama-sama mereka sebanyak 2,300 tan bekalan makanan dan ubat-ubatan.
Sementara itu, sebilangan sami Buddha dan aktivis Myanmar turut bersikap biadap apabila mengadakan demonstrasi bantahan di kawasan pelabuhan Yangon ketika menyambut ketibaan kapal flotila tersebut.
Mereka juga membawa sepanduk bertulis ‘No Rohingya‘. Salah seorang dari mereka dipetik media tempatan sebagai berkata mereka hendak tunjuk kepada misi flotila itu bahawa orang etnik Rohingya tidak wujud di Myanmar.
Selepas MITT, kapal flotila tersebut akan meneruskan pelayaran selama tiga hari lagi menuju ke pelabuhan Chittagong di Bangladesh kerana terletak berhampiran wilayah Rakhine yang diduduki penduduk Rohingya.
Ini ekoran kerajaan Bangladesh tidak membenarkan kapal tersebut berlabuh di Teknaf atas alasan keselamatan dan faktor saiz kapal itu terlalu besar berbanding paras kedalaman perairan di pelabuhan kecil itu agak cetek.
Di Chittagong, baki bantuan akan diturunkan untuk diangkut kenderaan darat dan dihantar terus kepada orang pelarian Rohingya yang berada di kem pelarian di negara berkenaan. – Agensi