Orang PAS Takkan Lupa "Dosa-Dosa" Mahathir


ALOR SETAR – Akar umbi dan pemimpin-pemimpin PAS sama sekali tidak akan pernah melupakan "dosa-dosa" bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika zaman pemerintahannya suatu masa dahulu.

Bekas ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin menegaskan bahawa PAS masih lagi menolak ideologi Tun Mahathir sehingga kini dan tidak akan bekerjasama dengannya walaupun beliau kini bersama pembangkang.

"Kedua-duanya mempunyai sejarah yang bercanggah. PAS konsisten menentang kepimpinan Tun Dr Mahathir hingga kini.

"Jadi tak mungkin mereka boleh bersama sebagaimana mereka tak boleh bersama DAP” katanya berhubung perspektif hubungan kerjasama antara PAS dengan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu dalam satu kenyataan.

Selain itu, beliau turut mendakwa bahawa PAS juga lebih rela bekerjasama dengan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin berbanding Mahathir.

"Bagi saya, kalau setakat Muhyiddin Yassin mungkin PAS boleh terima tetapi tidak Mahthir. Perkara ini lebih menjurus ke arah individu dan bukan parti," katanya lagi.

Jelas Zulkifli lagi, walaupun terdapat beberapa pemimpin PAS dan PPBM mengadakan pertemuan bagi membincangkan soal kerjasama tersebut, namun ia hanyalah sekadar cakap kosong sahaja.

Katanya, perbincangan antara dua parti itu disifatkan sebagai tidak serius memandangkan sehingga kini masih tiada keputusan dapat dicapai. -Kedahnews.com