Ozlyn Kongsi Kisah Malam Pertama Dengan Johan Raja Lawak


SEBUT sahaja nama Johan Raja Lawak pasti ramai yang mengenalinya apatah lagi sering tampil di kaca televisyen dengan lawak yang pasti membuat penonton tidak kering gusi.

Isteri Johan iaitu Rozlinawaty Ismail atau Ozlyn menerusi satu posting di laman Instagramnya (IG) mendedahkan kisah malam pertama mereka sebagai suami isteri sekali gus merungkai sisi lain pelawak tersebut yang jarang-jarang diketahui oleh para peminatnya.

Ternyata Johan atau nama sebenarnya Mohammad Yazid Lim Mohamad Aziz merupakan seorang yang begitu menitikberatkan soal agama.

Menurut Ozlyn, dia tidak pasti sama ada orang lain di luar sana turut pernah mengalami pengalaman malam pertama perkahwinan yang agak unik seperti yang dilaluinya dengan suami tercinta.

“Aku tak tahu la malam pertama orang lain lepas nikah…tapi malam pertama aku lepas nikah shuben aku bawak Quran atas katil.

“Dalam hati ermm mesti laki aku nak test aku pandai baca ke x.. mulut aku laju jek nak baca…maklom la orang sekolah agama…dia x tau lak berapa kali aku khatam,” tulisnya memulakan cerita.


Kemudian, Johan mula membaca Al-Fatihah dan menerangkan satu persatu maksud huruf dibacanya membuatkan Ozlyn terdiam dan hilang rasa untuk mendabik dada tentang berapa kali dia telah khatam Al-Quran.

Selepas ‘kejadian’ malam pertama itu, amalan membaca Al-Quran telah menjadi rutin bagi pasangan ini sebelum tidur.


Malah anak sulung pasangan ini juga sudah pandai untuk menterjemahkan surah-surah lazim tatkala mendengar ayat-ayat suci Al-Quran di corong-corong radio.

Jelas Ozlyn, gambar dan kapsyen yang dimuat naik bukan untuk menunjuk-nunjuk tetapi saling memperingati antara satu sama lain.

Tambahnya, dia dan keluarga masih banyak lagi ilmu yang perlu dipelajari.

Pesan Ozlyn, “Ko belom hebat kalo x paham isi Quran.” - Kedahnews.com