NIBONG TEBAL - Padah membawa mercun ketika menonton perlawanan bola sepak Liga Super, Pulau Pinang menentang Sarawak Sabtu lepas, dua lelaki masing-masing dipenjara empat hari dan didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret Jawi di sini semalam selepas mengaku bersalah memiliki mercun.
Majistret Shamsol Azwa Martadza turut memerintahkan pekerja kilang Mohd Afizal Mohd Aziz, 22, dan nelayan Muhamad Khairi Mat Yusoff, 28, dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Kedua-dua tertuduh dipenjara empat hari bermula dari tarikh mereka ditangkap 11 Februari lalu.
Mengikut pertuduhan, Mohd Afizal didakwa memiliki dua bungkus mercun yang berisi 12 biji mercun naga di Stadium Batu Kawan di sini pada 8.45 malam, 11 Februari lalu.
Muhamad Khairi pula didakwa memiliki empat biji mercun bola di stadium tersebut pada 11 malam, tarikh sama.
Mereka yang baru dihadapkan ke mahkamah hari ini didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.
Terdahulu peguam Foo Siew Pheng dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon denda terhadap tertuduh dikurangkan kerana Mohd Afizal dan Muhamad Khairi telah menginsafi perbuatan mereka dan berjanji tidak akan mengulanginya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Afiq Nazrin Zaharinan. –Bernama