PAN Kedah Dakwa PAS Tak Realistik


ALOR SETAR - Sasaran yang dibuat Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berdasarkan sokongan pengundi kepada parti Islam itu yang menjadi antara komponen PR dalam PRU13 untuk memerintah empat negeri di semenanjung Malaysia adalah tidak realistik.

Pengerusi Parti Amanah Negara (PAN) Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, dalam konteks di Kedah Kedah misalnya sokongan ketika itu kepada PAS hanyalah 44 peratus daripada orang Melayu, 70 peratus (Cina) dan 50 peratus (India).

“Tetapi hari ini PAS tidak lagi berada dalam pakatan (Pakatan Harapan), malah membentuk Gagasan Sejahtera sebagai blok ketiga dengan perjuangan berteraskan Melayu Islam.

“Kesan ketara perubahan sokongan rakyat kepada PAS selepas keluar daripada PR dapat diukur dalam PRK Sungai Besar dan PRK Kuala Kangsar. PAS hanya dapat kurang dari tiga peratus sokongan orang Cina serta kehilangan sokongan Melayu secara drastik,” katanya.

Menurutnya, kajian daripada Ilham Centre dan I-CPI yang dibuat selepas itu menyokong perubahan sokongan rakyat kepada PAS ketika kedua-dua PRK berlangsung.

“Dapatan daripada kedua-kedua kajian itu hampir sama iaitu sokongan semasa orang Cina kepada PAS kurang dari tiga peratus, manakala sokongan Melayu kepada PAS kurang dari 25 peratus. Malah unjuran sokongan semua bangsa kepada PAS di masa yang akan datang semakin menurun.

“Dengan sokongan 25 peratus pengundi Melayu dan tiga peratus pengundi Cina, PAS tidak akan memenangi mana-mana kerusi Dun mahupun Parlimen di seluruh Malaysia. Maka harapan untuk mengambil semula Kedah dan Terengganu serta bertahan di Kelantan adalah harapan kosong yang tidak realistik,” katanya.

Jelasnya, malah hasil kajian yang dilakukan itu juga menunjukkan PAS kemungkinan besar akan kehilangan kuasa pemerintahan di Kelantan.

“Pemikiran perkauman Abdul Hadi jelas terpancar apabila beliau membuat perkiraan 89 kerusi Parlimen pembangkang semasa yang terdiri daripada 39 Melayu dan 50 bukan Islam. Beliau lupa ini berlaku ekoran dari majoriti kerusi Melayu dimenangi oleh UMNO.

“Sudah tentu statistik kerusi ini akan berubah dalam PRU14 kalau kerusi-kerusi Melayu yang ditandingi oleh UMNO dan PAS dimenangi oleh juga Melayu dari PKR, PAN mahupun DAP,” katanya.

Beliau berkata, akhirnya komposisi dalam Parlimen akan merangkumi lebih 65 peratus Melayu.

“Cuma bezanya ketika itu Melayu tidak lagi Melayu UMNO atau PAS, tetapi Melayu dari Pakatan Harapan dan Parti PPBM,” katanya.

Pada 30 Januari lalu, media melaporkan PAS menyasarkan empat negeri pada PRU14 antaranya mengukuhkan kedudukan di Kelantan, mahu kembali memerintah Terengganu dan Kedah, serta menerajui Selangor.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, walaupun sukar peroleh majoriti 112 kerusi, namun PAS secara bertanggungjawab untuk mempertahankan Islam dan memastikan Islam memerintah negara ini.

Sumber: Sinar Harian