PAN Kedah "Restu" Jika PAS Bekerjasama Dengan UMNO


ALOR SETAR - Pengerusi Parti Amanah Negara (PAN) Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh "merestui" kerjasama yang bakal dijalinkan antara UMNO dan PAS di peringkat negeri Kedah.

Dr Ismail berkata, restu dari PAN Kedah itu adalah kerana tidak mahu lagi rakyat di negeri ini keliru dengan pendirian PAS yang kini semakin mesra membentuk kerjasama dengan UMNO bagi kepentingan umat Islam dan bangsa Melayu.

Ujar beliau, hanya dengan cara menjalin kerjasama antara UMNO dan PAS sahaja akan dapat membuat rakyat dapat menilai situasi sebenar bagi kedua parti terbesar orang Melayu beragama Islam itu.

"Ini kerana telah sampai masanya untuk rakyat menilai dan membuat keputusan untuk menyokong siapa setelah sekian lama kerjasama yang tidak rasmi diadakan.

"Kekeliruan kepada rakyat mengenai bentuk kerjasama ini harus dirungkai segera dengan menjadikannya rasmi antara UMNO dan PAS Kedah dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke -14 akan datang," katanya, memetik laporan portal pro-pembangkang, Malaysiakini, hari ini.

Terdahulu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menegaskan bahawa UMNO Kedah mengalu-alukan dan tidak mempunyai sebarang masalah untuk bekerjasama daripada PAS di negeri ini.

Namun begitu, Menteri Besar itu menjelaskan bahawa ia bergantung kepada pucuk pimpinan UMNO dan PAS di peringkat Pusat dan UMNO Kedah sedia untuk membantu ke arah perpaduan dua parti tersebut demi kepentingan Melayu dan Islam di negara ini.

Walau bagaimanapun, difahamkan bahawa belum ada sebarang kerjasama rasmi di antara UMNO dan PAS secara menyeluruh di semua aspek, namun dua parti itu telah beberapa kali bekerjasama mengenai isu yang melibatkan kepentingan bangsa dan Islam, termasuk RUU Akta 355 dan misi bantuan kemanusiaan etnik Rohingya, baru-baru ini. -KedahNews.com