ALOR SETAR - Parti Amanah Negara (PAN) Kelantan berura-ura untuk mencalonkan anak kepada bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai calon parti itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti.
Pengerusi PAN Negeri, Datuk Wan Rahim Wan Abdullah berkata, Nik Omar Nik Abdul Aziz dilihat paling sesuai untuk menggalas tanggungjawab itu dengan baik ekoran kreadibilitinya yang dikatakan sama dengan arwah bapanya.
"Dalam masa yang sama juga kami bercadang untuk membawa hasrat jadikan Nik Omar sebagai calon di sini. Kami tahu beliau mempunyai kredibiliti yang sama dengan arwah bapanya, dan mampu mengalas tanggungjawab dengan baik.
"Jika kita menang, maka secara automatiknya aura Tok Guru itu masih kekal di sini," katanya dalam satu kenyataan yang dipetik dari Sinar Harian, hari ini.
Ura-ura tersebut difahamkan telah mencetus spekulasi yang mengatakan kemungkinan Nik Omar juga berkemungkinan besar calon yang dilihat sesuai untuk dilantik menjadi Menteri Besar Kelantan jika menang bertanding mewakili PAN nanti.
Walau bagaimanapun, Nik Omar yang dihubungi media enggan memberikan sebarang ulasan terhadap perancangan PAN Kelantan itu.
Menurut Wan Rahim lagi, PAN kini semakin berkembang hebat di negeri yang dikuasai PAS itu dan kini mempunyai sebanyak 556 cawangan di 156 kawasan di seluruh negara, termasuklah di Pulau Melaka yang baru dibuka.
Katanya, dengan persediaan rapi yang dibuat PAN selama parti itu tertubuh, beliau optimis untuk partinya menawan kubu kuat PAS di Dun Panchor tersebut.
Untuk rekod, Dun Panchor kini disandang oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah selepas menewaskan calon BN pada PRU yang lalu, Che Rosli Hassan dengan majoriti 5,036. - Kedahnews.com