PAN Tanya Sanggupkah PKR, PPBM Beri Jawatan PM Pada Hadi?


ALOR SETAR - Parti Amanah Negara (PAN) mempersoalkan sama ada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sanggup untuk melepaskan jawatan Perdana Menteri kepada Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang.

Pengarah Komunikasi PAN, Khalid Samad berkata, PAS sebelum ini menegaskan mahu mana-mana parti yang berhasrat menjalin kerjasama dengan parti itu supaya mengikut cara PAS dan menerima Abdul Hadi sebagai satu-satunya calon Perdana Menteri.

"Kalau dilihat kenyataan sebelum ini, (PAS berkata) kalau nak bekerjasama dengan PAS mesti terima kepimpinan PAS.

"Kalau begitu PPBM dan PKR kerana terima Hadi sebagai calon Perdana Menteri.

"Itu juga masalah besar buat kedua-dua parti terbabit kerana syarat PAS sebelum itu ialah, biar PAS memimpin," katanya pada sidang media di Wisma PAN di Kuala Lumpur.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah sebelum ini menyarankan supaya PKR serta PPBM meninggalkan Pakatan Harapan yang diketuai DAP dan menyertai blok ketiga pembangkang iaitu Gagasan Sejahtera yang diketuai PAS.

Sebelum ini, PKR mengumumkan mahu Ketua Umum partinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang masih menjalani hukuman penjara untuk dijadikan sebagai calon Perdana Menteri apabila dibebaskan kelak.

DAP dalam kenyataannya sebelum ini turut bersetuju dengan keputusan PKR itu dan menegaskan bahawa Anwar merupakan calon tunggal Perdana Menteri bagi Pakatan Harapan.

Walau bagaimanapun, Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu kenyataan di luar negara sebelum ini mencadangkan supaya Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin dinobatkan sebagai calon Perdana Menteri bagi pihak pembangkang.

Selain itu, ramai penganalisis politik turut mendakwa bahawa Mahathir sebenarnya mahu membuka laluan mudah buat anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir untuk menjadi Perdana Menteri, namun Pengerusi PPBM itu menafikan pandangan tersebut.

Ekoran itu cadangan Mahathir itu, DAP bangkit membantah kenyataan Mahathir tersebut dan bermati-matian mahu Anwar dikekalkan sebagai calon Perdana Menteri pembangkang yang tunggal. - Kedahnews.com