PAS Baling Harap Sungai Di Kg Teluk Sungai Durian Dilebar, Didalamkan

Abd Nasir (kiri) bersama jentera PAS Baling dan penduduk meninjau sungai di kampung berkenaan
BALING - Penduduk Kampung Teluk Sungai Durian Mukim Bongor memohon pihak berwajib mendalam dan melebarkan sungai di kampung mereka.

Penduduk, Ali Zakaria, 48, berkata, tiga buah rumah yang terletak di kawasan rendah sering terputus hubungan ketika banjir.

"Sungai di sini cetek dan tak lebar. Bila musim hujan lebat, air akan melimpah menyebabkan jalan kampung kira-kira 50 meter ke jalan utama tenggelam.

"Kedalaman banjir pada paras lebih kurang dua meter menyebabkan penduduk tak boleh keluar kampung. Kalau ada kecemasan pasti akan timbulkan masalah," katanya ketika ditemui, di sini, kelmarin.

Yahya Abdullah, 69, pula berkata, dia pernah diusung menggunakan pengusung diperbuat dari buluh untuk dibawa ke hospital.

"Sebelum ini saya diusung oleh penduduk guna jalan hutan.

"Saya risau perkara ini berulang dan berharap ia dapat diselesaikan segera," katanya.

Sementara itu, Setiausaha PAS Kawasan Baling, Abd Nasir Idris berkata, kira-kira 21 ahli keluarga terputus hubungan sekiranya banjir berlaku.

“Pas Kawasan Baling berharap sungai di kawasan ini dapat dilebarkan dan didalamkan.

"Jika ada mana-mana pihak perlukan bantuan kita untuk bergotong-royong, Pas sedia menghantar jentera dan sukarelawan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Mukim Dun Bayu, Jhangir Khan Kathem Khan berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dituntut memberi perhatian segera terhadap masalah berkenaan.

“JPS diharap dapat menyelesaikan masalah itu secepat mungkin, Pejabat Dun Bayu akan sentiasa prihatin masalah dialami penduduk,” katanya.

Sumber: Sinar Harian