PAS Dedah Sejak Bila Husam Mula Serang Kerajaan PAS Kelantan


KUALA LUMPUR – “Saya tak tahu apa tujuan Datuk Husam Musa (bekas pemimpin PAS) menyerang kerajaan PAS Kelantan (sewaktu beliau masih berada dalam PAS),” kata Pengarah Jabatan Penerangan PAS Pusat, Ahmad Amzad Hashim.

Bagaimanapun, kata beliau, apa yang diketahuinya Husam mula bertindak demikian apabila bekas Murysidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak menamakan beliau sebagai Menteri Besar Kelantan yang baharu.

Kata beliau, Husam mula menyerang kerajaan PAS Kelantan sejak Allahyarham Nik Abdul Aziz merestui keputusan parti itu agar Husam tidak lagi menjadi exco kerajaan Kelantan.

“Sejak bila Husam jadi penyerang Kerajaan PAS Kelantan? Sejak Nik Abdul Aziz tidak lagi termakan dengan percubaan melaga-lagakannya dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Sejak beliau kalah pemilihan di muktamar.Sejak itu Husam berubah. Dia bukan lagi mempertahankan kerajaan PAS. Tapi bekerja kuat untuk hasut rakyat agar hilang keyakinan kepada PAS.Dia bertindak sama saja seperti Parti Amanah Negara (PAN) mensabotaj PAS,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahmad Amzad seterusnya berkata, PAN bertindak sama seperti DAP mensabotaj PAS, manakala Husam bertindak sama seperti DAP mendokong PAN.

Justeru, katanya, permainan politik oleh PAN dan Husam tidak matang serta tidak bertanggung jawab hingga menjadikan politik satu sarkis yang mengheret rakyat dengan keputusan-keputusan yang menyusah dan meresahkan rakyat.

“Mengaku berjuang Islam tetapi bersekongkol dengan yang mengambil sikap anti perjuangan Islam,” katanya dipercayai merujuk kepada DAP. -Kedahnews.com