PAS Gesa Mufti Perlis Henti Kelirukan Umat Islam, Usah Sekongkol Liberalis


ALOR SETAR - Dewan Ulama PAS, menggesa Mufti Perlis, Datuk Dr Asri Zainul Abidin supaya tidak mengelirukan umat Islam berhubung pandangannya mengenai isu perundangan Islam, khususnya RUU 355.

Ketua Penerangannya, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri berkata, Dr Asri sebagai seorang Mufti seharusnya tidak bersekongkol dengan golongan liberal yang selama ini cuba menggagalkan usaha memperkasa hukum Allah di negara ini.

"Saya menggesa sahabat saya Dr Asri berhentilah mengelirukan umat Islam dalam isu undang-undang jenayah Islam dengan pelbagai pandangan songsang sementelah kedudukan beliau sebagai mufti.

"Janganlah berdiri sebaris dengan golongan berfikiran liberal yang berusaha memandulkan sebarang usaha memperkasakan agama Allah," katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan Dr Mohd Khairuddin itu dikatakan sebagai tindak balas terhadap Mufti Perlis tersebut ekoran sindirannya yang menganggap penyokong kepada pelaksanaan hukum hudud akan menunjukkan "keindahan Islam" sebagai satu tindakan yang salah.

"Apa yang salah sekarang ini kita beri gambaran pada dunia apa yang kita katakan keadilan, apabila dipotong tangan pencuri, disebat orang berzina, minum arak maka terlaksana keindahan Islam.

"Ini gambaran paling salah yang cuba diberikan sekelompok manusia termasuk IS. Tindakan itu hanya membenarkan dakwaan Presiden Amerika Donald Trump yang dunia Islam adalah dunia mengganas," kata Dr Asri dalam satu forum bertajuk “Sejauh Mana Anda Memahami Hudud”, baru-baru ini.

Mufti Perlis itu juga dikatakan mempertikai RUU 355 dengan melontarkan persoalan tentang "syarat untuk menghukum. Apakah kita sudah mencukupi syarat untuk menghukum?".

Mengulas mengenai "kecelaruan" Dr Asri itu, Dr Mohd Khairuddin menegaskan bahawa pandangan Mufti Perlis itu adalah berkisar tentang perihal di peringkat prosedur melibatkan undang-undang keterangan sebelum hukuman boleh dijatuhkan.

"Adapun isu pelaksanaan sama ada melibatkan syarat yang membolehkan hukuman dilaksanakan, itu adalah prosedur melibatkan Akta atau Enakmen Keterangan untuk menjatuhkan hukuman.

"Ia adalah apabila sesuatu kes dibawa ke Mahkamah Syariah nanti. Ia tidak berbangkit pada peringkat sekarang. Itu peringkat pelaksanaan di Mahkamah Syariah.

"Setiap undang-undang ada prosedur Keterangannya di Mahkamah. Ia dibincangkan dalam konteks Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah di negeri-negeri," katanya memperjelas "kekeliruan" yang dipertikai Mufti Perlis tersebut.

Berikut di bawah adalah kenyataan penuh Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS tersebut; -Kedahnews.com

Dr Asri Sangat Keliru Tentang RUU 355

Saya merasa sangat bertanggungjawab untuk menjelaskan kekeliruan sahabat saya Dr Asri tentang RUU 355.

Beliau dilaporkan oleh media hari ini berkata bahawa yang dia pertikaikan tentang RUU 355 ialah "syarat untuk menghukum. Apakah kita sudah mencukupi syarat untuk menghukum?".

Kenyataan ini menunjukkan betapa kelirunya Dr Asri dan betapa dia mengelirukan umat Islam.

Fahami baik-baik. RUU 355 adalah cadangan pindaan undang-undang bagi Akta 355 khususnya membolehkan tiga kesalahan jenayah Islam; Minum Arak, Qazaf dan Zina dihukum menurut al-Quran dan Sunnah iaitu masing-masing 40, 80 dan 100 rotan dan meningkatkan hukuman bagi pelbagai lagi kesalahan Takzir daripada hanya terikat kepada 3 tahun penjara, 5 ribu ringgit denda dan 6 kali sebatan kepada maksima 30 tahun penjara, 100 ribu ringgit denda dan 100 kali sebatan Syarie.

Adapun isu pelaksanaan sama ada melibatkan syarat yang membolehkan hukuman dilaksanakan, itu adalah prosedur melibatkan Akta atau Enakmen Keterangan untuk menjatuhkan hukuman.

Ia adalah apabila sesuatu kes dibawa ke Mahkamah Syariah nanti. Ia tidak berbangkit pada peringkat sekarang. Itu peringkat pelaksanaan di Mahkamah Syariah. Setiap undang-undang ada prosedur Keterangannya di Mahkamah. Ia dibincangkan dalam konteks Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah di negeri-negeri.

Saya menggesa sahabat saya Dr Asri berhentilah mengelirukan umat Islam dalam isu undang-undang jenayah Islam dengan pelbagai pandangan songsang sementelah kedudukan beliau sebagai mufti. Janganlah berdiri sebaris dengan golongan berfikiran liberal yang berusaha memandulkan sebarang usaha memperkasakan agama Allah.

Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri