PAS Kesal PKR Percaya Tomahan Husam Tentang RM90 juta.


ALOR SETAR – PAS menyatakan kekesalannya atas sikap Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dengan mudahnya percaya terhadap tuduhan Datuk Husam Musa berkaitan dana RM90 juta yang kononnya disalurkan oleh UMNO.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata menyedihkan apabila PKR percaya terhadap tomahan tersebut sedangkan PAS sama sekali tidak percaya pada dua sabitan kes mahkamah yang dilemparkan kepada bekas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kes liwat babitkan Anwar dua kali disabitkan di mahkamah tetapi PAS tak percaya, tiba-tiba PKR boleh percaya PAS ambil duit RM90 juta tanpa ada bukti," katanya.

Sementara itu, Mohd Amar turut menyifatkan segala tomahan Husam tersebut sebagai tidak masuk akan dan tidak logik.

Hal ini kerana gambar cek RM90 juta yang menjadi tular di media sosial tersebut telah lama tersebar sejak dari tahun 2012 lagi, malah cek itu tidak mempunyai tanda tangan, ujarnya.

Menurutnya lagi, tanda tangan merupakan salah satu syarat wajib bagi mana-mana bank untuk menerima sesuatu cek, sekiranya tiada tanda tangan  mana mungkin duit akan dimasukkan ke dalam akaun.

"Bagaimana cek yang tidak ditanda tangani boleh digunakan untuk memasukkan duit ke dalam mana-mana akaun, tak masuk akal.

"Bodoh benarlah kalau ada bank yang mahu cek yang tidak ditanda tangani," katanya.

Terdahulu, Husam mendedahkan bahawa beliau mempunyai segala bukti dan butiran mengenai dana RM90 juta yang diterima PAS hasil daripada pemberian UMNO dan dana tersebut telah disalurkan ke akaun Affin Bank.

Beliau berkata demikian dalam ceramahnya di pentas Parti Amanah Negara (PAN) sebelum ini.-Kedahnews.com