PAS Pokok Sena Desak Mahfuz Segera Keluar Parti


ALOR SETAR – Ahli Parlimen Mokok Sena, Datuk Mahfuz Omar didesak supaya segera meletakkan jawatan dan menyertai parti lain daripada terus menjadi "duri dalam daging" dan mempergunakan jawatannya untuk mengkritik PAS secara terbuka.

Pemangku Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Pokok Sena, Wan Romani Wan Salim menegaskan, Ahli Parlimen Pokok Sena itu tidak perlu terikat dengan sumpah bai’ah parti ekoran telah berkali-kali melakukan tindakan yang menunjukkan beliau seolah-olah bukan lagi ahli PAS.

"Menurut Fasal 11 (4) perlembagaan PAS, mana-mana ahli mestilah patuh pada perlembagaan parti dari semasa ke semasa.

"Justeru mana-mana ahli yang tidak patuh dengan keputusan parti, dia bukanlah ahli PAS walaupun dia mendakwa dirinya sebagai ahli,” katanya dalam sidang media di sini, pagi tadi.


Mahfuz yang merupakan bekas YDP PAS Pokok Sena sebelum ini mengisytiharkan dirinya bercuti selama sembilan bulan bermula 1 Februari hingga 30 Oktober 2016, namun beliau dilapor tidak menyambung tugasnya sebagai YDP selepas tempoh tersebut.

Setelah bermesyuarat, Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan kemudiannya mengeluarkan surat pemberhentian sebagai YDP dan AJK PAS Pokok Sena kepada Mahfuz pada November 2016, sebelum Wan Romani dilantik memangku jawatan itu sehingga kini.

Wan Romani berkata Mahfuz dilihat agak melampau apabila sering menggunakan kedudukannya sebagai Ahli Parlimen untuk mengkritik pemimpin dan dasar parti secara terbuka dengan alasan kononnya mendapat mandat dan mewakili golongan bawahan.

"Dia cakap janganlah retorik, sebenarnya dia bertopeng saja, walau dia anggota pimpinan dan bekas pimpinan parti, syarat ahli mesti mematuhi perlembagaan PAS dan mestilah mengikut arahan parti dari semasa ke semasa.

"Sebagai anggota parlimen yang menang kerana kerja keras peringkat kawasan dan cawangan, dia sepatutnya patuh pada keputusan parti. Sepatutnya pemimpin yang tiada integriti tidak layak duduk dalam PAS," tegas pemimpin PAS Pokok Sena itu.

Mahfuz sebelum ini dilihat secara terbuka mengkritik dasar parti dan pemimpin PAS malah bekas Pesuruhjaya PAS Kedah itu juga sering dilihat berada sepentas dengan Parti Amanah Negara (PAN) yang dianggap pengkhianat parti bagi PAS.

Selain itu, Mahfuz turut dilihat akrab dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang bersekongkol dengan DAP dan sama-sama menghentam PAS secara terbuka sejak parti itu ditubuhkan. - Kedahnews.com